Muhyiddin nafi ditangkap, akan mengadap SPRM esok



PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi esok.

Beliau dalam satu hantaran di Facebooknya turut menafikan dakwaan bahawa dia telah ditahan SPRM semasa bermain golf pada petang tadi.

“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.


“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.

“Bagaimanapun, esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi,” katanya di sini tadi.

Terdahulu, spekulasi bertiup kencang mengatakan Muhyiddin telah ditahan SPRM pada petang tadi.

Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.


Akhir bulan lalu, SPRM turut membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Pada 18 Februari lalu juga, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, SPRM kemudian mengesahkan bekas Perdana Menteri itu adalah antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram