Muhyiddin didakwa esok: Sumber SPRM



Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menghadapi pelbagai pertuduhan jenayah di mahkamah esok, menurut sumber SPRM.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, presiden Bersatu itu akan didakwa di bawah beberapa peruntukan mengikut Akta SPRM di Mahkamah Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada agensi anti rasuah itu akan menahan Muhyiddin semalaman sebelum membawanya ke mahkamah, kerana pegawai penyiasat masih belum membuat keputusan.

“Pegawai penyiasat masih merekodkan keterangan beliau (Muhyiddin).


"Setakat ini saya tidak boleh menyatakan sama ada mereka akan menangkapnya. Mereka akan memutuskannya selepas merakamkan kenyataannya," kata sumber yang enggan dikenali itu.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, dan berkata suruhanjaya itu akan mengeluarkan kenyataan media.

Apabila diminta untuk menyatakan kes apakah ahli Parlimen Pagoh itu disoal siasat dan akan dihadapkan ke mahkamah, sumber itu enggan mengulas lanjut kecuali berkata terdapat beberapa kes terhadapnya.

"Akan ada banyak pertuduhan," kata sumber dalaman SPRM itu.


Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 11.15 pagi tadi untuk memberi keterangan.

Pengerusi Perikatan Nasional itu malam tadi mengesahkan bahawa dia telah diarahkan oleh SPRM untuk hadir ke ibu pejabatnya, har ini tetapi tidak memberikan butiran mengenai siasatan itu.

Adalah dilaporkan bulan lalu, bahawa Muhyiddin tampil di hadapan penyiasat SPRM pada 16 Feb, dan mereka merekodkan kenyataannya berkaitan siasatan ke dalam dua akaun bank Bersatu, yang telah dibekukan.

SPRM telah membekukan akaun bank berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. Kedua-dua akaun itu dilaporkan mempunyai kira-kira RM40 juta.

Sekiranya Muhyiddin didakwa esok, ia adalah yang individu terbaru dalam siri pertuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin Bersatu sejak pertengahan Februari.


Pada 21 Feb, Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta rasuah jumlah yang tidak ditentukan dan dikenakan satu lagi pertuduhan menerima rasuah RM6.96 juta pada 2022.

Beberapa pertuduhan turut dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Menurut SPRM, pertuduhan itu berkaitan dengan skim Jana Wibawa - projek rangsangan oleh pentadbiran Muhyiddin ketika itu sebagai sebahagian daripada usaha bantuan wabak Covid-19.

Perkembangan siasatan kes berkenaan mendapat liputan ramai pengamal media tempatan dan asing, selain penyokong pengerusi Perikatan Nasional itu yang berkumpul di luar bangunan SPRM sejak 7 pagi tadi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram