PN berhak rancang rampas kerajaan, kata Hadi



KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional berhak merancang merampas kerajaan daripada pentadbiran Anwar Ibrahim, kata Presiden PAS Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata usaha merampas kerajaan daripada parti memerintah perkara biasa dalam politik, sama ada menerusi undi tidak percaya, akuan berkanun, atau penyokong kerajaan berpaling tadah.

Malah, cara sedemikian dibolehkan oleh sistem demokrasi dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan, tambahnya.

“Memang kita berhak merancang. Tiada siapa boleh halang kita nak merancang,” kata Hadi kepada pemberita, mengulas ramalannya mengenai kelangsungan pentadbiran Anwar baru-baru ini.


“Kita berusaha bukan sahaja melalui pilihan raya, termasuk melalui Parlimen.”

Hadi dalam ucapannya di Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini pada Rabu lalu dilapor menjangkakan pentadbiran Anwar akan tumbang tidak lama lagi, namun tidak menyebut jika PN sedang mengatur sesuatu.

Perdana Menteri Anwar bagaimanapun menyifatkan Hadi “mengigau”, dan berkata presiden PAS itu berhak membuat perancangan sedemikian.

Mengingatkan pemberita bahawa kenyataannya adalah “kenyataan politik” dan politik sesuatu yang “dinamik”, Hadi menyangkal anggapan rancangan sedemikian melangkaui titah Yang di-Pertuan Agong.


Agong pada pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-15 pada 13 Feb lalu menyambut baik permuafakatan antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

“Kenyataan Agong tidak jadi kata putus yang menghalang untuk perubahan dalam negara demokrasi,” kata Hadi.

Sementara itu, Hadi berkata beliau tiada masalah pemimpin pembangkang didakwa di mahkamah tetapi menegaskan mereka yang didakwa itu tidak boleh lagi dianggap bersalah.

Katanya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga masih berdepan dengan tuduhan rasuah di mahkamah tetapi tetap dilantik sebagai timbalan perdana menteri. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram