Polis siasat dua lelaki dakwa 'Nabi Muhammad ini Allah'



KAJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dua lelaki kerana menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW yang tular di media sosial sejak semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara tersebut setelah pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai insiden terbabit.

“Satu aduan telah dibuat dan telah diterima oleh pihak polis dan siasatan telah dimulakan, proses pertama mengenal pasti individu di dalam video yang tular.


“Sudah tentu kita akan beri keutamaan kepada perkembangan ini yang tidak sihat sama sekali dalam konteks amalan beragama di negara kita.

“Saya cuma sahkan (aduan) dan video tular itu memang dalam radar pemakluman polis,” katanya pada sidang media di Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan dua lelaki dikenali Asrulizwan Mohamad Yassin dan Mohamad Saarani Mohamad Zakaria yang didakwa mempermainkan nama Allah dan Nabi Muhammad SAW yang tular di media sosial semalam.


Video berdurasi 52 saat itu memaparkan dua lelaki berbaju hitam sambil menyebut ‘Nabi Muhammad ini Allah, kenapa masyarakat Malaysia tak boleh menerima yang Nabi Muhammad itu. Allah itu gelaran bagi Nabi Muhammad SAW dan dia tak diberanakkan dan peranakan. Dalam surah al-Ikhlas telah dinyatakan.

“Seandainya anda ingin mengetahui, boleh berjumpa dengan kami atau hubungan kami di mana-mana, kami sedia berjumpa dengan anda. Kami nak bantu buka minda anda semua,” katanya lelaki tersebut dalam klip video tersebut. – MG





Join our Telegram Channel
Telegram