Wan Saiful letak jawatan



Wan Saiful letak jawatan


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan telah meminta Bersatu membenarkan beliau berundur sebagai ketua penerangan berikutan tuduhan rasuah yang dihadapinya di mahkamah.

“Saya telah minta presiden parti (Muhyiddin Yassin) dan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menggantikan saya dengan orang lain sebagai ketua penerangan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

“Saya sudah maklumkan kepada presiden dan setiausaha agung (Hamzah Zainudin) mengenai keputusan saya, tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh parti.

Tambahnya, beliau akan bertemu Muhyiddin hari ini untuk membincangkan langkah seterusnya.

Semalam, Wan Saiful didakwa menerima rasuah RM6.9 juta dan meminta suapan yang jumlahnya tidak dinyatakan berhubung projek jalan raya RM232 juta yang berkait dengan program Jana Wibawa.


Wan Saiful percaya, langkahnya melepaskan jawatan parti akan membawa kesan positif kepada Perikatan Nasional (PN) dan membuktikan gabungan itu memegang kata-kata tentang integriti dan memerangi rasuah.

“Sebagai contoh, apabila seseorang dalam parti ada kes mahkamah, kami sanggup melepaskan peranan eksekutif kami sehingga (nama) kami dibersihkan (oleh mahkamah).

“Kami tidak akan menggunakan kuasa kami untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau juga berkata, beliau akan terus membantu parti pada PRN akan datang dalam apa jua cara, dan menegaskan bahawa tuduhan yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan sama ada Wan Saiful akan melepaskan semua jawatan parti selepas didakwa atas tuduhan rasuah, apabila mempertahankan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

“Sudah tentu tidak. Jadi, itulah pendirian saya,” kata Anwar di Dewan Rakyat. – FMT

 

Muhyiddin terima peletakan jawatan Wan Saiful sebagai ketua penerangan Bersatu


KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menerima peletakan jawatan Wan Saiful Wan Jan sebagai ketua penerangan parti itu.

Beliau berkata pengganti bagi mengisi jawatan itu akan dilantik dalam masa terdekat.

“Saya sudah jumpa Wan Saiful, pagi tadi dan lepas bincang (beliau) setuju untuk letak jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Terdahulu, Wan Saiful meminta Bersatu membenarkannya berundur sebagai ketua penerangan berikutan tuduhan rasuah yang dihadapinya di mahkamah.

Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu meminta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa.


Beliau juga dituduh meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan peletakan jawatan Wan Saiful itu bukan hukuman daripada parti.

Beliau menghargai tindakan Wan Saiful melepaskan jawatan berkenaan kerana enggan menimbulkan pandangan negatif terhadap Bersatu.

“Ini bukan sebab Wan Saiful bersalah atau tidak. Ini ‘standard’ (prosedur) apabila berhadapan dengan apa-apa tuduhan.

“Saya cukup hargai langkah (ini). Tanggungjawab (jawatan ketua penerangan Bersatu) nanti akan dipimpin (pimpinan) Bersatu lain,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram