Zahid janji masalah air selesai jika Umno menang #PRNKelantan



Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa masalah bekalan air perkara wajib diselesaikan sekiranya Umno menang pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan nanti.

Presiden Umno itu berkata masalah air di Kelantan adalah janji Umno yang akan diselesaikan.

“Bagi saya di Kelantan, masalah air mesti diselesaikan dan itu adalah janji Umno dan Barisan Nasional (BN). Dalam keadaan ini, pengundi Kelantan perlu membantu Umno untuk sekali ini.

“Cuba beri peluang untuk Umno hanya untuk lima tahun sahaja, jika dirasakan tidak okay, boleh tukar semula.


“Kita hanya perlukan masa lima tahun untuk BN membuktikan kita mampu memberi bekalan air bersih kepada rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pengenalan calon-Calon pemilihan Umno sesi 2023-2026, di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, pihak tertentu tidak boleh menyalahkan Allah dalam isu air keruh, sebaliknya sebagai pemimpin perlu berusaha memberi air bersih kepada rakyat.

“Jadi berilah peluang kepada Umno dan BN untuk kali ini.


“Dasar yang baik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang kita akan teruskan,” katanya.

Sebagai rekod umum mengetahui masalah perbekalan air terawat di Kelantan begitu sinonim dan berlarutan sejak sekian lama seolah-olah tidak berpenghujung.

Masalah kualiti air sentiasa menjadi buah mulut rakyat Kelantan sehingga 'air karat' menjadi modal untuk mengkritik kerajaan negeri atau pun parti yang mewakili Kelantan iaitu PAS.

Punca masalah ini biasanya diberi alasan bahawa paip yang digunakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) selaku operator induk untuk menyalurkan air ke premis-premis pengguna merupakan paip lama.


Usia paip yang dikatakan sekitar 40 tahun itu menyebabkan berlaku kerosakan menyebabkan wujudnya air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) selain kualiti air yang tidak memuaskan.

Pada penghujung 2021, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah, dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membina sebuah takungan besar yang dijangka dapat menyelesaikan isu perbekalan sumber keperluan asas rakyat itu.

Bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini juga memperkatakan mengenai projek takungan air pinggiran sungai (Taps) yang menelan belanja RM1.3 bilion .

Namun sehingga hari ini, masalah air di Kelantan masih belum diselesaikan sepenuhnya. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram