DAP, PKR dijangka ‘berkorban’ di Selangor demi kerajaan perpaduan, kata sumber



PETALING JAYA: Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah salah seorang daripada beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat, yang dijangka “dikorbankan” oleh DAP dan PKR pada PRN akan datang.

Mereka berkata, menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu, yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dzulkefly Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.

Seorang sumber berkata, PH mungkin akan menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi “selamat” kepada BN dalam langkah strategik yang dicatur untuk mengekalkan kerajaan perpaduan. DAP dan PKR perlu melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN), tambahnya.

“Kombinasi ini amat penting bagi kerajaan perpaduan untuk membendung gelombang hijau yang cuba disandarkan oleh Perikatan Nasional (PN),” kata sumber.


“Terdapat beberapa kerusi yang kini disandang oleh DAP dan PKR yang menjadi majoriti Melayu berikutan pendaftaran (pengundi) automatik tahun lepas.”

Kerusi-kerusi yang dikenal pasti termasuk Sungai Pelek, Kota Kemuning, Dusun Tua, dan Dengkil. Kerusi-kerusi ini terutamanya majoriti Melayu dengan bilangan pengundi Cina yang tinggi, menurut profil kawasan pilihan raya terkini.

PKR juga dijangka membiarkan Umno bertanding di kerusi yang dirampas Bersatu pada 2018.

Pada ketika ini, PH memegang 40 daripada 55 kerusi dalam DUN Selangor – PKR (19), DAP (15) dan Amanah (6).


Kerusi DUN selebihnya diwakili BN (5), PN (5), Pejuang (2), Parti Bangsa Malaysia (2) dan Warisan (1).

Sumber itu berkata, Umno menjadi penerima manfaat terbesar kerana PH sedar bahawa parti itu mesti diperkukuh di semua negeri bagi memastikan kerajaan perpaduan terus utuh.

Parti komponen BN, MIC dan MCA juga mungkin mendapat manfaat daripada langkah itu dengan diberikan satu atau dua kerusi, katanya.

Satu lagi sumber berkata, Umno memulakan langkah dengan menukar kerajaan negeri BN Melaka kepada kerajaan perpaduan baru-baru ini, dengan ahli DAP dan PKR kini menjadi Exco.


“Ini permulaan kepada apa yang boleh kita jangkakan pada PRN Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Beberapa kerusi yang akan dikorbankan oleh PKR dan DAP mungkin tidak sesuai dengan segelintir pangkalan sokongan mereka.

“Bagaimanapun, parti-parti itu sanggup mendekati akar umbi untuk menjelaskan kepentingan Malaysia meneruskan kerajaan perpaduan pada semua peringkat.

“Lama kelamaan pengundi akan faham kerana gambaran yang lebih besar kini semakin jelas,” katanya.

PRN dijangka diadakan selepas Julai. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram