Disiasat polis, Muhammad Fawwaz enggan ulas lanjut



Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan memaklumkan beliau telah memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, dekat Bukit Mertajam berhubung kertas siasatan berunsur perkauman membabitkan dirinya.

Muhammad Fawwaz berkata keterangan itu diberikan pada 3 petang, Jumaat lepas.

"Isu ini sedang dalam siasatan polis. Saya telah memberi keterangan berkaitan isu ini kepada pihak polis (di) IPD Timur Laut, jadi biarlah siasatan dijalankan.


"Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana dalam siasatan. Saya pun tidak ingat bila hantaran itu dibuat dan bila ia dipadam oleh pengendali Facebook saya. Isu ini tak ada apa-apa pun, sengaja dibangkitkan. Ia bukan isu baharu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang memetik Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN).

Kertas siasatan itu dibuka ke atas Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang.


Saifuddin Nasution dilaporkan berkata siasatan ke atas Abdul Hadi dan Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dengan Muhammad Fawwaz didakwa membuat fitnah ke atas orang bukan Islam. − Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram