Hina Agama: Siti Nuramira mengaku bersalah, didenda RM8,000



KUALA LUMPUR: Bekas hos sukarela sebuah kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan melukakan perasaan orang lain dengan menyentuh isu agama ketika membuat persembahan komediri (stand up comedy) pada Jun tahun lalu. 

Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi (Siti Nuramira) yang dihantar pada 16 Mac lepas.

“Untuk maklumat mahkamah representasi telah diterima. Oleh itu pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh,” katanya.

Oleh itu, Nuramira mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Nuramira dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut bahawa kamu adalah seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu persembahan di atas pentas Crack House Comedy Club pada pukul 6 petang, 4 Jun 2022.

Dia didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Hakim Priscilla kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000, jika gagal bayar dikenakan empat bulan penjara ke atas Nuramira.

Terdahulu, peguam bela, R. Sivaraj ketika merayu kepada mahkamah berkata, anak guamnya layak untuk mendapat hukuman ringan yang berbentuk denda kerana menjimatkan masa mahkamah serta merupakan kesalahan pertamanya. 


Tambah Sivaraj, anak guamnya juga baru sahaja berkahwin empat bulan lalu dan mahukan kehidupan yang aman. Nuramira juga telah menghilangkan diri dari media sosial supaya tidak mencetuskan sebarang kontroversi lagi.

“Sebagai seorang isteri, tertuduh mahu kehidupan aman, dia juga telah ditahan reman 10 hari sebelum ini. Tertuduh amat menyesali kesalahan beliau dan memohon maaf kepada pihak-pihak yang terlibat. Kami mohon, hukuman yang diberikan tidak bersifat menghukum tetapi berbentuk pengajaran,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik mohon supaya mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tersebut telah mendapat perhatian orang ramai.

“Walaupun hukuman di bawah Seksyen 298 lebih ringan namun itu tidak bermaksud kesalahan tertuduh tidak serius. Pihak pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira kesalahan tertuduh mendapat perhatian umum. Kami berharap mahkamah memberi hukuman yang menggambarkan keseriusan kesalahan itu,” katanya. − Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram