Jamal dilantik AJK Umno S’gor di sebalik dakwaan sogok perwakilan



PETALING JAYA: Jamal Yunos dilantik ahli jawatankuasa Umno Selangor di sebalik dakwan menyogok untuk memenangi jawatan ketua Umno Sungai Besar.

Pemakluman itu dikongsi sendiri Jamal selepas menerima watikah pelantikan daripada Ketua Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin, hari ini.

“Sukacita dimaklumkan dengan rasmi Jamal Md Yunos, ketua bahagian Sungai Besar dilantik sebagai ahli jawatankuasa badan perhubungan Umno Selangor bagi penggal 2023-2026,” menurut surat pelantikan dikongsi Jamal itu.


Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dipercayai dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin Umno apabila didakwa menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya, pada pemilihan parti.

Menerusi sepucuk surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Mohd Hafarizam Harun bertarikh 7 Apr 2023, beliau dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan Umno dan Tataetika Ahli Umno yang boleh dihukum bawah Fasal 20.9.

Dalam surat itu juga, perwakilan yang diberikan sogokan diarahkan bersumpah untuk mengundi Jamal dalam pemilihan parti.


Selain wang tunai, perwakilan turut diberikan satu beg perwakilan mengandungi kad gantung perwakilan, cai, dan sekeping kad jemputan dikatakan boleh ditunaikan berjumlah RM2,000 jika Jamal menang pemilihan.

Susulan itu, Jamal ketika dihubungi FMT menafikan dakwaan sogokan tersebut, pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

Beliau menyifatkan dakwaan itu fitnah dibuat pihak lawan yang kalah dalam pemilihan parti peringkat bahagian Sungai Besar. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram