Jamal dipanggil Lembaga Disiplin UMNO?



SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus dipercayai dipanggil hadir bagi pendengaran Lembaga Disiplin apabila didakwa menyogok 12 orang perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti pada 18 Mac lalu.

Menerusi sepucuk surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun bertarikh 7 April 2023, beliau dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum di bawah Fasal 20.9.

“Bahawa Datuk Seri pada 17 Mac 2023, jam lebih kurang 6.15 petang telah melakukan perbuatan rasuah dan sogokan politik dengan memberikan wang sebanyak RM1,000 kepada penama (12 perwakilan) dari Cawangan UMNO Parit Sungai Haji Dorani, Parit 3 Jalan Lama, Sungai Limau, Simpang Tiga Loji dan Pekan Pasir Panjang.


“Yang menjadi perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar melalui ejen Datuk Seri untuk memilih Datuk Seri sebagai ketua bahagian Sungai Besar pada pemilihan parti bagi sesi 2023-2026,” katanya.

Dalam surat tersebut juga, perwakilan yang diberikan sogokan itu diarahkan bersumpah untuk mengundi Jamal dalam pemilihan parti.

“Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, wallahilazim, wabillahi saya akan mengundi Datuk Seri Jamal Md. Yunos sebagai Ketua Bahagian dan semua senarai Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian mengikut cai yang diberi,” tulisnya.


Jelas surat itu lagi, selain wang tunai, perwakilan turut diberikan satu beg perwakilan mengandungi kad gantung perwakilan, cai dan sekeping kad jemputan yang dikatakan boleh ditunaikan berjumlah RM2,000 jika Jamal menang pemilihan tersebut.

Bagaimanapun, Jamal gagal dihubungi untuk mendapatkan pengesahan panggilan dan penerimaan surat tunjuk sebab tersebut.

Terdahulu, Jamal mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pada pemilihan, Mac lalu dengan menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo. − Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram