'Kalau Umno nak ambil tindakan terhadap saya... silakan' - Jailani



Melaka: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis sedia dikenakan tindakan oleh partinya, Umno susulan pendirian diambilnya berhubung pelantikan Ketua Menteri baharu.

Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Alor Gajah itu menegaskan, sebagai orang berprinsip beliau enggan menjadi 'pak turut' terhadap perkara yang dilihatnya salah dan tidak wajar.

"Saya hanya berkata yang benar dan mengambil kira peribadi serta perilaku pemimpin yang diketengahkan.

"Sebagai pemimpin apabila kita berjanji, semua janji haruslah kita penuhi terutama janji kepada rakyat.


"Sekiranya kerana ini Umno pusat atau negeri nak ambil tindakan ke atas saya silakan," katanya dihubungi di sini.

Katanya, dengan pelantikan Adun Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka semalam menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletak jawatan, secara rasmi parti itu memungkiri satu manifesto penting semasa Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) 2021.

"Semua parti mempunyai manifesto ketika pilihan raya. Bagi Umno/Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka 2021 manifestonya calon Ketua Menteri sehingga habis penggal ialah Sulaiman.

"Manifesto adalah janji kepada rakyat khususnya Melaka dan sebagai seorang Muslim ia harus dilaksanakan.

"Jadi saya ingin memaklumkan kepada rakyat Melaka saya tidak menyokong, terbabit, malah menentang perkara ini (pelantikan Ketua Menteri)," katanya.


Muhammad Jailani yang juga bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri berkata, apa yang berlaku disifatkan mengaibkan Sulaiman secara peribadi dan beliau tidak dapat menerimanya.

"Sudah pasti ini memalukan dan mengaibkan Sulaiman secara peribadi, lebih parah lagi ia dilakukan dalam Ramadan.

"Titisan air mata Sulaiman saja sudah cukup menyatakan semuanya, belum lagi mereka yang terbabit dalam krisis ini sama ada yang mempertahankan atau yang ingin merubah posisinya," katanya.

Beliau berkata, kestabilan bukan isu kerana Melaka sedang stabil ke arah pembangunan ekonomi dan mendakwa apa terjadi berpunca tidak sesetengah individu yang mempunyai nafsu serakah dan tidak mahu ada penghalang dalam mengejar cita-cita mereka. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram