Puteri Sarah tak mahu bermusuh, simpan dendam



Kuala Lumpur: Hati pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, kini terasa sangat tenang apabila kemelut rumah tangganya bersama Syamsul Yusof, 39, kian sampai penghujung selepas pengarah itu akhirnya setuju untuk bercerai.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata itu saja diharapkannya berhubung kes itu dan enggan menyimpan rasa dendam mahupun bermusuh.

"Sambutan raya saya akan lebih gembira dan tenang. Yang penting saya tak mahu bermusuh dan berdendam. Itu sahaja. Sebelum ini banyak benda tak terjawab. Sekarang ini sudah terjawab. Saya hanya mahu ketenangan. Alhamdulillah saya sudah dapat," katanya.


Puteri Sarah juga bersyukur segala kata sepakat yang dipersetujui mereka melancarkan proses perceraian itu. Dia akan tetap menjaga hubungan baik dengan Syamsul sebagai ibu bapa kepada anak-anak mereka.

"Anak-anak juga tiada masalah beraya dengan dia, kalau Syamsul beri kerjasama, saya pun akan beri kerjasama. Tiada apa nak bermusuhan dan bergaduh. Semua sudah selesai, demi kebaikan anak-anak.

"Saya okay sahaja, saya tak nak lebih-lebih pun. Yang penting dia pun dapat jumpa anak," katanya.


Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 18 April ini untuk pengarah filem Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya pelakon Puteri Sarah Liyana.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh terbabit yang mana ia akan direkodkan. Antaranya membabitkan hadanah (hak jagaan anak), nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian. − Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram