Selepas lunyai dibelasah, majikan setuju bayar gaji 600 pekerja tertunggak RM3.8 juta



PETALING JAYA: Kontraktor pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah bersetuju membayar tunggakan gaji kira-kira 600 pekerjanya berjumlah RM3.8 juta hari ini dan esok.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata persetujuan itu dicapai selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah semalam.

Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas pergaduhan antara pekerja dan majikan dari Korea itu kelmarin akibat kelewatan membayar gaji bulan lalu.


“Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan. Maknanya berlaku kelewatan gaji bulan Mac. Jadi, berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea.

“Berikutan itu, pengarah JTK Sabah bersama ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan. Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji tertunggak itu pada 17 dan 18 April,” katanya menurut Harian Metro.

Mustapha mengulas rakaman video tular kelmarin berhubung pergaduhan pekerja dan majikan di sebuah tapak binaan kilang di KKIP.


Semalam, polis menahan dua pekerja disyaki memukul majikan warga Korea di tapak binaan yang dibangunkan syarikat Korea Selatan selepas mangsa membuat laporan polis.

Bagi memastikan majikan membayar gaji pekerja seperti dijanjikan, Mustapha berkata, pegawai JTK akan berada di tapak binaan hari ini dan esok untuk memantau dan mendengar jika ada lagi aduan pekerja lain. − FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram