SPRM tahan pegawai kanan menteri sumber manusia



KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala serbuan dijalankan di kementerian itu pagi tadi.

Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dalam maklum balas ringkas melalui WhatsApp kepada The Vibes.

Beliau turut mengesahkan bahawa individu lain telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan agensi pengambilan pekerja asing.


Difahamkan, penahanan itu berkaitan dakwaan bahawa mereka yang terlibat telah menubuhkan agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian walaupun terdapat konflik kepentingan.

Difahamkan juga, orang kedua yang ditahan ialah ejen pengambilan pekerja asing.

Mereka dijemput di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 1 pagi semalam selepas tiba dari Bangkok.


Pegawai SPRM kemudiannya menyerbu kementerian itu pagi ini.

Difahamkan, siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

The Vibes telah menghubungi pejabat Sivakumar untuk mendapatkan komen. – The Vibes, 13 April 2023




Join our Telegram Channel
Telegram