Sivakumar dipanggil SPRM



PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan dua pembantu kanannya berhubung dakwaan rasuah dalam pengambilan pekerja asing.

Seorang pembantu Sivakumar memberitahu FMT, menteri itu dipanggil untuk “formaliti tertentu”.

“Beliau bukan saksi mahupun suspek. Beliau berada di sana untuk seketika dan telah meninggalkan pejabat (SPRM),” katanya.

Semalam, Sivakumar berkata, beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada agensi anti-rasuah jika dipanggil.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai siasatan itu bagi mengelak sebarang risiko menjejaskannya.


Pada Jumaat, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.

Sehari sebelumnya, agensi anti-rasuah itu menahan salah seorang pegawai kanan Sivakumar, bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing, menurut sumber.

FMT telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan komen.

Sivakumar semalam mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berikutan penahanan pembantunya. Penahanan itu, katanya, adalah sebahagian daripada proses siasatan susulan aduan kepada SPRM.

“Kita hanya akan tahu sama ada dakwaan itu benar atau palsu setelah siasatan selesai. Jika didapati bersalah, mereka akan didakwa di mahkamah; jika tidak, mereka akan dibebaskan,” katanya.


Penahanan pembantu Sivakumar mencetus gesaan agar pembaharuan dilakukan dalam proses pengambilan pekerja asing.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan agar serius mempertimbangkan menghapus penggunaan pihak ketiga.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa agar pengurusan pengambilan pekerja asing diletakkan bawah Pejabat Perdana Menteri, bukannya Kementerian Dalam Negeri mahupun Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, perlu ada sebuah jabatan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan diketuai oleh bekas hakim, CEO atau pesara pegawai kanan kerajaan.


SPRM sahkan ambil keterangan Sivakumar

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu kepada Bernama: “Ya, pihak SPRM telah meminta menteri (Sivakumar) untuk hadir ke SPRM bagi memberi keterangan,” katanya.

Sivakumar hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pagi tadi bagi memberi keterangan susulan penahanan beberapa pegawainya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

Seorang pembantu kepada Sivakumar berkata menteri berkenaan hadir di SPRM pada kira-kira 10 pagi dan meninggalkan bangunan tersebut kira-kira setengah jam kemudian.


Baru-baru ini, SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar yang dipercayai mempunyai kaitan isu pengambilan pekerja asing.

Semalam, Sivakumar berkata, beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada agensi anti-rasuah jika dipanggil.

Pada Jumaat, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.

Sehari sebelumnya, agensi anti-rasuah itu menahan salah seorang pegawai kanan Sivakumar, bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram