Warga emas dipenjara 15 tahun, 10 sebatan kerana rogol anak saudara lembam



Tawau: Buruh ladang dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam pada Mac tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Moin Usop, 60, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 20 tahun (ketika kejadian) di dalam tandas di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit dalam daerah Semporna, 12.30 tengah malam, pada 7 Mac tahun lalu.


Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta hukuman sebat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Syahnidzam dalam hujahnya memohon hukuman berat atas faktor kepentingan awam selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor pertalian darah antara tertuduh dan mangsa dalam kes itu adalah anak saudaranya sendiri.

Menurutnya, tertuduh yang tinggal sebumbung bersama mangsa dan ibunya seharusnya bertindak sebagai pelindung dan bukannya mengambil peluang atas kekurangan mangsa.


"Pendakwaan juga ingin tekankan pada Mahkamah bahawa keadaan mangsa adalah seorang individu (OKU) lembam namun tertuduh tergamak merogol mangsa yang juga anak saudaranya sendiri.

"Oleh itu, pendakwaan menghujahkan bahawa hukuman sebat adalah dibenarkan terhadap tertuduh walaupun sudah berusia melebihi 60 tahun," katanya.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa bangun dari tidur untuk ke tandas sebelum tertuduh bertindak mengekori mangsa lalu merogolnya.

Kejadian itu bagaimanapun disedari ibu mangsa yang sempat menyaksikan sendiri perbuatan keji tertuduh merogol anaknya sebelum tampil membuat laporan polis.


Tertuduh bagaimanapun dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai penyakit kencing manis.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 6 April tahun lalu. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram