Seks dengan objek terhadap anak saudara, lelaki dipenjara 20 tahun, 12 sebatan



Melaka: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan melakukan seks menggunakan objek terhadap anak saudaranya.

Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas menimbangkan rayuan dan pengakuan salah tertuduh terhadap semua pertuduhan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 2 dan 3.

Tertuduh berusia 39 tahun didakwa atas masing-masing atas dua kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun serta dua tuduhan melakukan seks dengan objek.


Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pasir Puteh, Bachang, dekat sini, pada 20 September 2022, kira-kira jam 8 pagi dan antara Mei hingga Jun 2021, sekitar jam 11 malam hingga 3 pagi.

Bagi kesalahan amang seksual fizikal tertuduh yang juga buruh binaan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula dituduh mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N Sivasangari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan sudah berkahwin dan menanggung anak kecil, namun pendakwaan berhujah supaya hukuman pemenjaraan dan sebatan dikenakan kerana kesalahan itu amat serius serta membabitkan mangsa berusia 12 tahun yang juga anak saudaranya.

Mohd Sabri menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tujuh tahun bagi dua kesalahan itu itu, manakala Darmafikri, empat tahun dan lima tahun.

Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 13 Januari lalu selain tertuduh juga dikenakan tiga sebatan bagi setiap empat pertuduhan. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram