Dr Maza sedia letak jawatan, cabar Azhar Idrus kemuka bukti Perlis anjur acara sesat



Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencabar pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus untuk mengemukakan bukti sekiranya benar perkampungan sunnah yang dianjurkan Jabatan Mufti negeri itu sesat dan pernah menghina ulama seperti Imam Nawawi.

Beliau menerusi rakaman video di YouTube berkata, sekiranya pendakwah berasal Terengganu itu dapat membuktikan dakwaan berkenaan perkampungan sunnah, beliau sendiri akan melepaskan jawatan sebagai Mufti Perlis dalam tempoh 24 jam.

“Kalau dia boleh buktikan dalam perkampungan sunnah itu ada hina Imam Nawawi…atau pun dia boleh buktikan dalam ceramah saya ada menghina Imam Nawawi, di dalam tulisan saya ada menghina Imam Nawawi, atau pun di dalam fatwa Perlis ada menghina Imam Nawawi, dalam masa 24 jam saya letak jawatan sebagai Mufti Perlis,” katanya.


Perkembangan ini hadir berikutan jawapan diberikan Ustaz Azhar kepada seorang jemaah yang bertanya pandangannya terhadap perkampungan sunnah yang diadakan bertujuan memperbetulkan umat Islam daripada syirik.

Dalam jawapan itu, Azhar berkata, jika hendak mengajak kepada kebenaran, seseorang itu mestilah dalam kebenaran. Namun jika individu itu pun sesat, bagaimana mahu mengajak ke arah yang benar.

Beliau juga menyebut tentang wahabi, mengatakan; “Kenapa tak boleh ikut wahabi? Kerana kita dilarang mengikut golongan yang mengkafirkan umat Islam. Bukan sahaja orang awam, ulama pun dikafirkannya. Ulamak dikata sesat. Imam Nawawi dikatakan sesat. Imam Hanafi dikatakan ulama jahil. Jangan ikut golongan ini. Nak ikut, ikut Nabi”.


Mengulas kenyataan dilempar itu, Mohd Asri berkata sekiranya Ustaz Azhar gagal membuktikan dakwaannya, ini bererti pendakwah itu adalah seorang lelaki muslim yang bercakap perkara jahat di dalam masjid, memfitnah masyarakat Islam yang lain.

Menurut Mohd Asri, perkampungan sunnah telah dihadiri beribu-ribu orang di mana ia dirasmikan sendiri oleh Raja Perlis dengan anjuran kerajaan negeri bersama jabatan mufti.

Beliau melahirkan rasa bimbang terhadap kenyataan yang dilemparkan itu kerana ia akan dibawa oleh pengikut-pengikut penceramah berkenaan.


“Dia mari buat ulasan seperti itu memfitnah orang sedangkan dia seorang ustaz yang dikenali ramai. Ringan fitnah itu di mulut dia. Kamu sangka ia ringan di lidah kamu? Di sisi Allah adalah berat.

“Tuduh orang sesat dengan satu perkara yang orang itu tak pernah lakukan dan tak ada siapa dalam kalangan mereka lakukan.

“Saya nasihatkan beliau, kalau ada masalah tentang hal-hal Imam Nawawi atau apa, beliau boleh datang ke Perlis. Saya boleh bagi pentas untuk dia bersama saya berforum,” tambahnya. − Harapandaily 
Join our Telegram Channel
Telegram