Semua orang tahu dia jual tanah, kata Mahathir


Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataannya yang mendakwa bahawa Raja-Raja Melayu telah "menyerahkan negeri mereka", semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran "raja".

Bercakap pada sidang media petang ini, Mahathir berkata "semua orang tahu" bahawa Raja-Raja Melayu menjual tanah untuk mendapatkan hasil.

"Saya sebut something berkenaan Raja-raja Melayu, dulu macam mana mereka tidak ada duit, simpan cukai dan sebagainya.

"Dan saya kaitkan dengan apa berlaku di Johor. Ini kenyataan, semua orang tahu. Takkan tak boleh cakap.


"Semua tahu dia jual tanah. Dia jual tanah RM4 bilion.

"Saya jumpa orang Cina tu, dia bangga beli tanah RM4 bilion.

"Dan tanah tu kekal selama-lama sampai akhirat, tanah tu dah bagi pada orang itu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas status siasatan yang dilancarkan polis terhadapnya baru-baru ini.


Pada 3 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa kertas siasatan ke atas Mahathir berhubung isu dia didakwa menghina institusi raja sudah disiapkan.

Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Mahathir berkata bekas perdana menteri itu disoal mengenai video yang dikatakan menunjukkan pemimpin berusia 97 tahun itu bercakap di sebuah majlis.

Dalam video itu, Mahathir didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

Mahathir juga mendakwa bahawa Raja-raja Melayu telah "menyerahkan negeri mereka", semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran "raja".


Mahathir disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.”

Sementara itu, ditanya mengenai penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Lim Kit Siang, Mahathir berkata, veteran DAP itu setaraf dengan bekas Musyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat.

"Sumbangan Kit Siang kepada negara tak boleh dilawan oleh mana-mana pihak lain, dia seorang yang setaraf dengan (Allahyarham) Nik Aziz," katanya. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram