Siti Hasmah sokong pandangan Syed Saddiq mengenai pendidikan seks



KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan komen Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman mengenai seks selamat dan pendidikan seks dalam kalangan remaja.

Minggu lalu, komen Syed Saddiq di Twitter dikecam di media sosial keraena menyokong amalan seks selamat untuk mencegah pembuangan bayi dan penyakit kelamin.

Dr Siti Hasmah Ali berkata masyarakat harus meneliti apa yang dikatakan Syed Saddiq kerana isu itu sentiasa diperbesar-besarkan apabila dibincangkan.

“Setiap kali seseorang mencadangkan topik ini diajar di sekolah, isu itu kecoh satu negara.

“Bekas menteri pendidikan Tan Sri Mohd Khir Johari pernah mencadangkan topik ini sebelum ini, tetapi semua orang mengkritiknya kerana dia hanya menyebut seks, dia akan mengajar kanak-kanak bagaimana melakukan hubungan seks,” katanya pada pembukaan simposium “Siti Hasmah: Wanita Pencorak Masa Depan Negara” di Dewan D’Lavender hari ini.

Loading...

Siti Hasmah berkata pendidikan seks penting kerana maklumat tentang seks sudah tersedia di internet sekarang.

“Dengan satu klik, mereka boleh mengakses semua yang kita tidak mahu mereka lihat. Ini berbahaya kerana internet tidak membimbing mereka dengan baik mengenai topik ini.

“Jadi pendidikan seks adalah untuk memahamkan remaja tentang seks dan menunjukkan kepada mereka apa yang Tuhan berikan kepada mereka, bukan mengajar mereka bagaimana melakukannya.

“Kita mesti mengajar anak-anak tentang bahaya jika tidak melindungi tubuh dan mengawal nafsu.”

Siti Hasmah berkata seks selamat juga penting untuk membendung penyebaran penyakit kelamin seperti gonorea, sifilis dan HIV.

Loading...

“Sebab itulah kita menggalakkan para suami menggunakan kondom untuk menghindari isterinya dijangkiti jika suami terlibat dalam seks luar nikah.”

Mengulas topik pembuangan bayi, Siti Hasmah berkata ibu bapa tidak boleh malu berbincang perkara itu dengan anak-anak mereka.

“Mereka adalah anak-anak anda. Anak-anak perempuan anda mesti memahami apabila mereka bertemu dengan lelaki, mereka perlu mengawal nafsu kerana mereka boleh menjadi mangsa kepada lelaki ini.

“Harapannya, apabila seorang gadis hamil, diharapkan ia dilakukan secara sah selepas perkahwinan dan diberkati oleh ibu bapanya.” – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram