Nama Najib disebut dalam dokumen PetroSaudi – Justo



KUALA LUMPUR: Bekas pegawai eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo mengakui bahawa nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dinyatakan beberapa kali dalam 227,000 dokumen yang diterimanya membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, biarpun dalam dokumen diterima menerusi e-mel itu tidak memaklumkan secara nyata peranan Najib, ia jelas menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tahu mengenai penyelewengan yang berlaku.

“Dalam data yang mengandungi 227,000 dokumen itu, ada beberapa kali disebut nama Najib di dalamnya.

“Jadi, jika diteliti, ia menunjukkan Najib tahu urus niaga dijalankan antara PetroSaudi dan 1MDB termasuk penyelewengan yang berlaku,” katanya kepada wakil media selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke-10 Pembiayaan Keganasan dan Jenayah Kewangan di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.

Loading...

Justo berkata, pada 22 Jun 2015 ketika di penjara di Bangkok, dia pernah dilawati oleh satu delegasi termasuk tiga wakil pihak berkuasa dari Malaysia.

Katanya, dalam lawatan itu dia diberikan dokumen mengandungi 55 soalan yang perlu dijawab olehnya.

“Saya mengambil masa satu hari untuk memahami dan menjawab soalan berkenaan, namun kebanyakan soalan lebih menjurus supaya saya mengaku kesalahan mencuri data milik PetroSaudi.

“Ia juga mahu saya mengaku tiada sebarang unsur jenayah dalam urusniaga membabitkan 1MDB manakala bekas perdana menteri Malaysia tidak mempunyai kaitan dengan kes itu dan seorang ahli politik yang baik,” katanya.

Menurut Justo, dia gembira dan berpuas hati apabila kerajaan baru Malaysia memulakan siasatan serta mendakwa beberapa individu terbabit skandal 1MDB di mahkamah termasuk Najib.

Loading...

Justo berkata, perasaan itu timbul susulan kesusahan pernah dialami keluarganya selepas dipaksa mengaku mencuri data milik PetroSaudi yang menyebabkan dia dipenjara selama 18 bulan di Thailand.

“Saya masih ingat lagi apabila mahkamah Thailand menjatuhkan penjara tiga tahun atas kesalahan yang saya dipaksa mengaku melakukannya.

“Namun, hukuman itu dipendekkan kepada 18 bulan saja selepas Raja Maha Vajialongkorn Bodindradevarangkun dilantik sebagai Raja Thailand yang baru berkenan memberi pengampunan.

“Jadi, biarpun dipenjara, skandal penyelewengan terbesar di dunia itu akhirnya disiasat dan individu terbabit didakwa,” katanya. – BHarian




Join our Telegram Channel
Telegram