Carlsberg: Kastam batal tuntutan cukai jualan, penalti RM20.65 juta



PETALING JAYA: Jabatan Kastam membatalkan notis tuntutan cukai jualan dan penalti berjumlah RM20.65 juta kepada pengeluar minuman keras, Carlsberg Malaysia, lapor The Edge Markets.

Akhbar itu melaporkan Carlsberg dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia semalam berkata, ia menerima surat daripada pengarah Jabatan Kastam Selangor kelmarin berhubung perkara itu.

Katanya, pembatalan notis tuntutan cukai jualan berjumlah RM13.76 juta dan penalti RM6.88 juta bagi 1 Julai 2011 hingga 14 Jan 2014 itu berkuat kuasa 15 Jan lalu.



Pada September 2014, Carlsberg dilaporkan berkata, Jabatan Kastam Selangor menuntut duti eksais berjumlah RM35.7 juta, cukai jualan sebanyak RM13.76 juta dan penalti RM6.88 juta mulai 1 Julai 2011 hingga 14 Jan 2014.

Syarikat itu bagaimanapun menolak liabiliti ke atas tuntutan itu dan akan mendapatkan nasihat berhubung perkara berkenaan.

Ini ialah berita baik ke-2 bagi Carlsberg selepas syarikat itu dilaporkan akan disenaraikan dalam Indeks Standard Global MSCI mulai 28 Feb ini. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram