Koronavirus: 95,000 tempahan hotel dibatalkan di Malaysia



KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) mengesahkan 95,000 tempahan hotel dibatalkan, susulan dakwaan di media sosial mengatakan tempahan sebanyak itu dibatalkan akibat koronavirus.

Presiden Tan Kok Liang juga mengesahkan pembatalan itu susulan wabak koronavirus novel di China dan menambah negara komunis itu menghalang rakyatnya melancong keluar negara.


Loading...

“Kebanyakan pembatalan tempahan ini daripada pelancong China. Di media sosial, kita boleh lihat banyak pembatalan tempahan dari China disebabkan oleh kerajaannya menghalang agensi pelancongan di sana membawa pelancong ke Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, seorang pengguna Twitter, @JarrNadjmudean mendakwa 95,000 tempahan hotel di Malaysia batal akibat koronavirus, dengan “anggaran kerugian RM40 juta”.


Loading...

Tan berkata penangguhan penerbangan dari China pasti menjejaskan industri pelancongan Malaysia tetapi kemasukan pelancong dari negara komunis itu cuma 13%.

Namun apa yang sangat membimbangkan Matta adalah komen-komen berkaitan dan berita-berita negatif akan menakutkan pelancong negara lain.

“Kita takut negara lain akan ikut serta kata Malaysia tidak selamat,” katanya.


Loading...

Pakej rangsangan

Sementara itu, Tan menyasarkan program Matta Fair Cuti-cuti Malaysia Domestik tahun ini akan menjana keuntungan RM20 juta hingga RM30 juta berbanding kebiasaan RM40 juta setahun, susulan wabak koronavirus.

Matta juga menggesa kerajaan melaksanakan segera pakej rangsangan ekonomi bagi membantu industri pelancongan, mengatakan kehadiran pelancong di bandar utama seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching, dan Kota Kinabalu berkurangan.


Loading...

“Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia,” katanya.

Matta mencadangkan 2 perkara untuk dimasukkan dalam pakej itu, iaitu potongan cukai berganda untuk syarikat yang menghantar pekerja menjalani latihan atau menyertai program di Malaysia; dan pengecualian cukai sehingga RM2,000 untuk individu yang membeli pakej pelancongan domestik daripada syarikat yang berdaftar dengan kementerian.


Loading...

“Kita mengharapkan ia dapat menggalakkan rakyat untuk melancong dalam negeri dan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan sektor pelancongan tempatan,” katanya.

Kerajaan dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu sektor-sektor yang terkesan dengan koronavirus, yang setakat ini meragut 1,000 nyawa di China dan ratusan sedang dirawat di hospital di serata dunia.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pelancongan sektor paling terjejas kerana wabak itu beri kesan langsung terhadap Tahun Melawat Malaysia 2020. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram