
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan pakej bantuan RM670 juta bagi membantu mengurangkan kesan negatif penularan COVID-19 kepada rakyat Sabah.
Mohd Shafie juga mengumumkan 15 langkah “Pakej Bantuan COVID-19 Sabah” membabitkan pengagihan dana dan barangan keperluan harian kepada petugas barisan hadapan, kumpulan berpendapatan rendah, peniaga dan mereka yang kurang berkemampuan.
Kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas RM50 juta bagi membiayai perbelanjaan kecemasan untuk bekalan barangan guna pakai dan peralatan seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman dan pakaian perlindungan.
Loading...
Peruntukan ini disasarkan kepada pasukan barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan dan pegawai Imigresen dalam melindungi negeri Sabah daripada penularan wabak COVID-19.
Sebanyak RM10 juta untuk bantuan makanan dan keperluan kepada golongan petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan.
Kerajaan negeri juga mengumumkan pengecualian membayar bil air selama tiga bulan bermula April. Ini membabitkan 335,000 pengguna domestik.
Kerajaan Sabah juga memperuntukan RM20 juta untuk golongan miskin tegar yang mana bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara “one-off” kepada isi rumah berdaftar dalam sistem E- Kasih.
Sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk golongan B40 termasuk rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung. Bantuan tunai secara “one-off” sebanyak RM300 membabitkan pemandu teksi, petani atau pekebun kecil; nelayan dan penternak, “porter” dan malim gunung serta kumpulan “vulnerable” seperti warga tua; anak-anak yatim; orang kelainan upaya dan ibu tunggal.
Loading...
Pakej bantuan itu juga membabitkan diskaun 30 peratus bil elektrik bagi tempoh tiga bulan yang mana diskaun sebanyak 28 peratus akan diberikan ke atas pembayaran bil elektrik untuk tempoh tiga bulan bermula bulan April ini sebagai tambahan kepada diskaun dua peratus yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ini dijangka memberi manfaat kepada 512,000 pengguna atau bersamaan 98 peratus akaun.
"Kerajaan negeri juga memutuskan untuk memberi peruntukan RM200 juta untuk pelaksanaan 1,000 projek di kampung dalam kawasan DBKK; Majlis Perbandaran Sandakan; Majlis Perbandaran Tawau dan kesemua daerah, termasuk daerah kecil seluruh Sabah.
"Projek kecil yang akan dilaksanakan ini akan menumpukan kepada usaha menambahbaik kualiti dan liputan infrastruktur serta kemudahan asas di di luar bandar Sabah," katanya. – BHarian
ARTIKEL BERKAITAN: Pusat kuarantin Sabah kelas A, berkerak berlumut
Join our Telegram Channel