Isu Air Melaka: Terima kasih Johor



ALOR GAJAH: Empangan Durian Tunggal, di sini dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin hanya mampu membekalkan air hingga hujung bulan ini jika ketiadaan hujan berterusan.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata paras air semasa Empangan Durian Tunggal hanya 4,970 juta liter atau kira-kira 16.1 peratus, manakala Empangan Jus 10, 475 juta liter (24.2 peratus) dan Empangan Asahan 480 juta liter (88.9 peratus).

Beliau berkata, berdasarkan bacaan berkenaan, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa meneruskan catuan air yang sedang berlangsung di seluruh negeri sejak 29 Januari lalu.

Loading...

Katanya, bagi memastikan negeri ini memperoleh sumber bekalan air mentah yang mampu memenuhi keperluan pengguna sekurang kurangnya hingga Monsun Timur Laut dijangka berakhir hujung bulan ini, kerajaan negeri meminta bantuan Johor untuk membenarkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengepam tambahan 220 juta liter air sehari dari Sungai Gersik di Muar terus ke Empangan Durian Tunggal.

“Sekarang kita sedang mengepam 220 juta liter air sehari dari Sungai Gersik dan kita minta tambahan 220 juta liter air lagi untuk membantu memastikan kita mampu membekalkan air untuk pengguna.

“Ia membabitkan perbelanjaan RM250 juta dan kita mohon daripada Kementerian Kewangan... insya-Allah ia mendapat kelulusan kerana isu ini sudah mencapai tahap agak serius,” katanya pada sidang media selepas melawat Empangan Durian Tunggal hari ini.

Loading...

Terdahulu beliau yang ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Pengarah Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Melaka, Faezah Abdul Rahman melawat Empangan Jus dan Empangan Machap.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu berkenaan dengan beliau sendiri berfungsi sebagai pengerusi, manakala anggota panel ialah Hasim, Faezah dan ketua pelbagai jabatan lain yang ada kaitan dengan pembekalan air.

Katanya, rakyat Melaka harus bersabar sementara menunggu bekalan air pulih dan dituntut sentiasa berjimat cermat menggunakan air.

Beliau berkata, umat Islam di negeri ini diminta menunaikan solat sunat istisqa dan hajat memohon Allah menurunkan hujan kerana ia adalah tanggungjawab semua umat Islam atau fardu kifayah yang harus dibuat secara kolektif. – BHarian

ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram