Pro Mahathir dakwa Bersatu kini ada dua setiausaha agung, Hamzah dan Marzuki



Bersatu kini mempunyai dua setiausaha agung, dengan masing-masing menyokong pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti Muhyiddin Yassin.

Kekusutan berlaku susulan pemecatan Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung pada 18 Mac lalu oleh Muhyiddin. Bagaimanapun menurut Mahathir, tindakan itu terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi peraturan parti.

Menurut Mahathir, peraturan tersebut menyatakan bahawa dirinya mesti dirujuk mengenai penyingkiran atau pelantikan seorang setiausaha agung dan syarat itu tidak dipenuhi.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan bahawa beliau telah melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung baru berkuatkuasa 18 Mac.


Loading...

“Sehubungan itu, segala tugas setiausaha agung seperti yang termaktub dalam perlembagaan Bersatu hendaklah dijalankan oleh Hamzah Zainuddin,” kata Muhyiddin yang juga adalah perdana menteri.

Hamzah turut dilaporkan telahpun memulakan tugasnya sebagai setiausaha agung. Malaysiakini telah melihat surat yang ditulis oleh Hamzah yang mengarahkan semua cawangan parti yang masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka untuk menangguhkannya.

Surat dengan arahan sama yang dihantar oleh Marzuki sebelum ini dikatakan tidak sah.

"Berikutan arahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bertarikh 18 Mac 2020, saya mengarahkan semua mesyuarat tahunan cawangan yang belum dibuat, ditangguh ke satu tarikh yang akan ditentukan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.


Loading...

"Tarikh baru bagi mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat bahagian juga akan dimaklum kemudian.

"Dengan ini, arahan khas seperti dalam kenyataan media bertarikh 18 Mac adalah tidak sah dan terbatal," kata Hamzah dalam surat yang ditujukan kepada jawatankuasa pemilihan, ketua dan setiausaha bahagian, dan ketua dan setiausaha cawangan Bersatu.

Hamzah merujuk kepada surat Marzuki bertarikh 18 Mac, yang mengarahkan 29 bahagian Bersatu yang belum mengadakan mesyuarat tahunan, agar melakukannya antara 1 hingga 7 April.

'Selesai secara dalaman'

Setiausaha Eksekutif Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya mengesahkan ketulenan surat Hamzah.

Beliau berkata surat itu selaras dengan arahan ROS, yang melarang semua pertubuhan yang berdaftar di bawahnya untuk mengadakan kegiatan di tengah-tengah penularan wabak Covid-19.

Ketika ditanya sama ada arahan Hamzah tersebut sah memandangkan Mahathir membantah pelantikannya, beliau berkata soal itu patut diserahkan kepada Bersatu untuk menyelesaikannya.

"Kami mengikut arahan ROS. Rujuk perlembagaan (Bersatu). Biar parti tangani perkara ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Suhaimi tidak menjawab pertanyaan lanjut oleh Malaysiakini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ketika dihubungi hari ini, Marzuki berkata beliau turut menerima surat itu menerusi Whatsapp.

Ditanya berkenaan kesahan kuasa Hamzah untuk mengeluarkan surat itu, beliau berkata: "Itulah sebabnya. Saya juga tidak faham."

Marzuki membayangkan perkara itu akan diselesaikan kemudian melalui proses dalaman parti.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan jika ada perbincangan berlaku antara Mahathir dan Muhyiddin berkenaan perkara itu.

"Sekarang semua orang duduk di rumah. Selepas ini (perkara itu akan ditangani). Sekarang kita lawan Covid-19 dulu," katanya lagi. – Mkini


Join our Telegram Channel
Telegram