Saudi gantung solat jemaah di masjid, ubah azan



Kerajaan Arab Saudi mula menggantung sementara sesi solat berjemaah dan solat Jumaat di kesemua 98,800 buah masjid seluruh negara bagi kekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, perintah larangan itu tidak pula termasuk Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah yang merupakan dua tapak utama di kota paling suci dalam ajaran Islam.

“Semua masjid ditutup bagi solat berjemaah lima waktu serta solat Jumaat,” lapor Saudi Press Agency yang petik kenyataan majlis ulama negara tersebut iaitu badan agama tertinggi kerajaan.

Bagaimanapun, muazin di masjid akan terus melaungkan azan dengan sedikit perubahan pada ayat “haiya ‘alas solah” (marilah solat) kepada “sollu fi buyutikum” (solatlah di rumah kamu).


Loading...

Keputusan drastik itu bertujuan untuk gesa jemaah supaya bersolat fardu di rumah mereka tetapi arahan baru ini tidak jejas urusan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi masih diteruskan.

Langkah tersebut, yang turut dibuat banyak negara Islam lain termasuk Malaysia, turut disokong Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Mohammed al-Issa sebagai sejajar syariah Islamiah.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi melaporkan 133 kes Covid-19 tanpa sebarang kematian dengan 15 kes baharu direkodkan semalam manakala enam pesakit sudah sembuh.

Ekoran peningkatan kes wabak itu, Arab Saudi turut larang semua penerbangan antarabangsa selama dua minggu selain mengarahkan premis perniagaan, sekolah dan universiti ditutup. – BebasNews


Join our Telegram Channel
Telegram