Covid-19: Pengiktirafan untuk negara – Dr Noor Hisham



KUALA LUMPUR: Pengiktirafan sebagai tiga doktor terulung di peringkat global dalam memerangi Covid-19, disifatkan bukan penghargaan kepada individu, sebaliknya untuk Malaysia dan keseluruhan jentera kerajaan.

Demikian tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ketika diminta mengulas pengiktirafan itu, jelas menunjukkan beliau mengambil pendirian terus berpegang kepada resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk ke bumi.

“Pengiktirafan ini untuk negara sebenarnya, tetapi apa yang lebih penting, Kementerian Kesihatan (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk beri nasihat kepada kerajaan.

“Pembuat keputusan bukan saya, tetapi Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), contohnya, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) adalah dilaksanakan Perdana Menteri, kita sekadar nasihat,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.


Loading...

Bersandarkan laporan China Global Television Network (CGTN), Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang Covid-19, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dihujani pujian kerana mengetengahkan penampilan tenang, jelas dan meyakinkan, sejak beberapa minggu lalu bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pandemik Covid-19.

Meskipun tidak menggalas jawatan menteri Kabinet, mereka menempa kejayaan dengan muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam memerangi Covid-19, selain ada yang memberikan gelaran ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.

Menerusi laporan sama, CGTN menyifatkan penampilan berprofil rendah dan bersahaja menjadi daya tarikan Dr Noor Hisham, manakala Bloomfield diangkat sebagai kakitangan awam paling sesuai bagi menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.


Loading...

Menzahirkan kesyukuran kerana diberikan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelbagai pihak, Dr Noor Hisham berkata penghargaan juga wajar ditujukan kepada semua menteri, mewakili portfolio masing-masing dalam menjayakan misi memerangi penularan Covid-19.

"Ada empat tindakan penting yang perlu dalam mengawal penularan wabak ini, antaranya kawalan sempadan kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kawalan pergerakan pula dijayakan hasil kerjasama erat antara kementerian dengan PDRM supaya segenap lapisan masyarakat patuh kepada perintah ini.

"Tidak lupa, petugas barisan hadapan yang tampil ke depan untuk bersama membantu usaha menangani penularan Covid-19, jadi ini (pengiktirafan) bukan untuk saya, tetapi untuk negara," katanya. – BHarian

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram