Dr Mahathir, Mukhriz bukan lagi ahli Bersatu?



KUALA LUMPUR: Keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mungkin tergugur susulan tindakan menandatangani perjanjian bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Isnin lalu.

Ia berdasarkan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU yang menyatakan keahlian seseorang ahli parti akan TERGUGUR jika ingkar peraturan parti, termasuk menyertai gabungan parti lain.

Turut berisiko terlucut keahlian BERSATU ialah Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Abd Rahman dan barisan EXCO bersamanya.

Mereka menolak parti bekerjasama dengan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) serta mahu parti kembali bersama PH.


Loading...

Ketua Penerangan BERSATU, Dr Mohd Radzi Md Jidin, menegaskan keanggotaan sebagai ahli BERSATU tergugur jika ingkar peraturan parti.

Beliau berkata, ingkar peraturan parti itu termasuk menyertai gabungan parti lain kerana bercanggah dengan pendirian parti, sekali gus boleh mengakibatkan keahlian TERGUGUR SERTA-MERTA berdasarkan perlembagaan parti.

"Setiap ahli perlu mematuhi pendirian rasmi parti yang dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran selaras perlembagaan parti.

"Ahli perlu sentiasa mematuhi keputusan parti dan melaksanakan dasar parti," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan menandatangani Kenyataan Bersama PH atas kapasiti sebagai Pengerusi BERSATU bersama Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertarikh 4 Mei lalu.


Loading...

Kenyataan bersama itu mendesak sidang Dewan Rakyat yang dijadual pada 18 Mei ini, diadakan lebih sehari bagi membolehkan perbahasan secara mendalam isu berkaitan, selain bagi Jemaah Menteri melaksanakan tugas legislatif kementerian masing-masing.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden BERSATU Menteri Besar Kedah, sebelum ini turut membayangkan BERSATU perlu kembali kepada PH selepas mendakwa melalui 'keperitan' bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) nasional menyokong BERSATU tidak meneruskan kerjasama dengan UMNO dan meninggalkan PN serta kembali kepada PH.

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, PH sedia menerima semula BERSATU dengan syarat parti itu menjunjung agenda perjuangan gabungan itu.

Mohd Radzi berkata, BERSATU tidak berhasrat menyertai semula PH dan parti tidak pernah berbincang mengenai langkah itu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Katanya, pendirian BERSATU itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Februari lalu iaitu untuk keluar dan tidak mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan PH.

Sambil merujuk kepada kenyataan Anwar dan Mohamad yang memberi gambaran seolah-olah BERSATU berminat menyertai semula PH, beliau berkata, ia tidak pernah dibincangkan.

Mohd Radzi yang juga Menteri Kanan (Pendidikan) menegaskan, kenyataan Mukhriz meminta ahli BERSATU bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti.

"Sebarang usaha untuk membawa BERSATU bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti," katanya. – Bharian


Join our Telegram Channel
Telegram