
"KAKAK nak minta maaf banyak-banyak kerana menyusahkan ibu, semoga ibu tenang di sana, kakak sayang ibu, kakak rindu ibu."
Demikian ucapan selamat Hari Ibu ditulis Aliyah, 8, iaitu anak sulung kepada Nur Indasari Miskan, 27, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jalan Labis -Yong Peng, Batu Pahat semalam.
Dalam kemalangan jam 1 tengah hari semalam, Nur Indasari dan anak saudaranya, Hazlina Makmun, 22, maut selepas motosikal mereka terbabas di Kilometer 115, Jalan Labis-Yong Peng.
Adik Nur Indasari, Ahmad Fauzi Miskan, 24, berkata, arwah kakaknya ke Kuala Lumpur sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan untuk mengambil empat anaknya pulang ke kampung di Kluang.
Loading...
"Sejak kelonggaran diumumkan kerajaan, dia terus mengambil keputusan pulang ke kampung bersama Hazlina kerana terperangkap di Kuala Lumpur sudah hampir dua bulan," katanya ketika dihubungi.
Ahmad Fauzi berkata, arwah terlalu rindu dan mahu melihat keadaan ibu bapa di kampung tetapi tidak menyangka kakak dan anak saudaranya itu terbabit kemalangan maut.
Menurutnya, paling menyedihkan ialah anak sulung arwah, Aliyah ada membuat kad ucapan sempena Hari Ibu serta mengucapkan terima kasih kerana menjaga dia dan adik-adik sehingga akhir hayat.
"Arwah ibu tunggal dan meninggalkan empat anak masing-masing berumur antara tiga hingga lapan tahun," katanya.
Loading...
Dia berkata, arwah Hazlina pula dua hari lalu berkelakuan pelik apabila meminta maaf bersungguh-sungguh dengan ibunya.
"Mereka berdua sememangnya insan yang baik kerana banyak terbabit dalam aktiviti kebajikan dan baru-baru ini turut memberikan bantuan barangan keperluan kepada petugas barisan hadapan.
"Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana 1 tengah hari tadi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, siasatan awal mendapati Yamaha 135LC yang ditunggang Hazlina hilang kawalan sebelum merempuh pokok.
"Pelanggaran menyebabkan Hazlina terhantuk pada pokok manakala pembonceng, Nur Indasari tercampak di kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Hmetro



Loading...



Loading...



Join our Telegram Channel