Anwar ahli politik paling tak cerdik, berkali-kali ditipu Dr M



Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cadangan DAP supaya memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-9 selama enam bulan, maka Presiden PKR itu adalah ahli politik paling ‘tak cerdik’ dalam dunia.

Apatah lagi selepas berkali-kali ditipu Dr Mahathir yang pernah berjanji untuk menyerahkan kuasa ketika kerajaan PH memerintah negara, kata Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil.

Beliau berkata, cadangan membenarkan Dr Mahathir menjadi PM selama enam bulan  menunjukkan parti tamak haloba DAP hanya mahu menggunakan Dr Mahathir untuk menang pilihan raya, kemudian ‘pakai-buang’ sahaja tokoh tersebut umpama lampin bayi.

“Dan selepas itu DAP boleh menggunakan Anwar pula untuk memerintah dengan agenda perkauman dan anti-Melayu mereka.

Loading...

“Mahathir tentunya boleh hidu hal ini namun dia tentunya rela digunakan oleh DAP asalkan dia jadi Perdana Menteri.

“Dah selepas jadi Perdana Menteri sekali lagi nanti, Dr Mahathir akan gunakan seluruh kuasa yang ada padanya untuk tidak tunai janji, tidak serah kuasa dan menipu manifesto lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tidak kira sama ada Anwar atau Dr Mahathir yang jadi PM kerajaan PH, kedua-duanya akan menjadi boneka tunggangan DAP.

“Malaysia tidak boleh ada Perdana Menteri boneka. Sebab itu sebenarnya sudah terlajak masa untuk kedua-dua Mahathir dan Anwar untuk bersara,” katanya.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan untuk menunggu selama enam bulan bagi menggantikan Dr Mahathir sebagai PM ke-10.

Loading...

Anwar dalam temu bual dengan Channel News Asia berkata, perjanjian itu akan membawa impak yang besar kepada negara.

Beliau menegaskan, peralihan singkat bermaksud sekurang-kurangnya setengah tahun ketidakpastian termasuk mengenai Kabinet dan dasar yang diperkenalkan.

Sebelum ini, rakan PKR dalam PH menyokong Anwar sebagai PM tetapi mahu Presiden PKR itu menunggu sehingga enam bulan bagi memberi laluan kepada Dr Mahathir.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam, kedua-dua parti itu konsisten menyokong Anwar sebagai calon PM sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian. – Ismaweb

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram