Kenyataan Peguam negara pembebasan Musa Aman



KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman selepas menerima afidavit daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menyokong supaya tuduhan dibatalkan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata melalui afidavit diterima pihaknya pada 5 Jun lalu, Abdul Gani mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara pada tahun 2012, untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Musa.

Idrus berkata, dalam afidavit itu yang difailkan Musa bagi membatalkan tuduhan terhadapnya, menyatakan bahawa Abdul Gani membuat keputusan itu berikutan siasatan mendapati wang yang terbabit adalah sumbangan politik.


Loading...

Beliau berkata, Abdul Gani menyatakan keputusan itu dibuat secara kolektif oleh individu peringkat atasan, iaitu bekas Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Seri Tun Abdul Majid Tun Hamzah; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohammad dan bekas Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali.

"Selepas kertas siasatan dikaji dan diteliti daripada sudut perundangan, bekas Peguam Negara menggunakan budi bicara beliau dan memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan pendakwaan.

"Oleh kerana terdapat representasi dan perkembangan terbaru dalam bentuk afidavit bekas Peguam Negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula keseluruhan keterangan bagi kes ini.

"Selepas meneliti semua keterangan sedia ada dan selepas perbincangan dengan pasukan pendakwaan serta siasatan bagi kes ini, saya memutuskan untuk menarik balik semua tuduhan terhadap Tan Sri Musa Aman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Loading...

Idrus berkata, selain afidavit Abdul Gani, perkembangan terbaru dalam kes itu berkaitan dokumen dan saksi juga, tidak mewajarkan kes itu diteruskan.

Beliau berkata, dalam kes sedemikian, keterangan dokumen adalah amat diperlukan bagi tujuan pembuktian kes, tetapi dokumen syarikat dan perbankan yang dijangka, tidak dapat diperoleh secara Permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Mutual Legal Assistance) daripada Hong Kong.

Beliau berkata, Jabatan Keadilan Hong Kong baru-baru ini memaklumkan kepada pihaknya bahawa syarikat dan bank di negara itu hanya dikehendaki menyimpan rekod selama tempoh tujuh tahun.

Katanya, berkemungkinan besar bahawa syarikat dan bank berkenaan tidak lagi memiliki rekod atau dokumen yang diperlukan itu.

Independent Commission Against Corruption (ICAC).

"Selain itu, terdapat saksi utama bagi pihak pendakwaan yang sudah meninggal dunia, mengalami masalah kesihatan yang serius atau tidak lagi berada di Malaysia.

"Keputusan ini diperkuatkan lagi dengan sepucuk surat pada 22 Disember 2011 daripada Suruhanjaya Bebas Rasuah Hong Kong (ICAC) yang menyatakan siasatan mereka terhadap Musa sudah lengkap dan berdasarkan fakta yang diketahui, tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan.

"Keputusan yang dibuat ini (menarik balik tuduhan) adalah menurut kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicara saya seperti termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pagi tadi, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya. – Hmetro



Loading...






Join our Telegram Channel
Telegram