Lebuhraya Pan Borneo akan dibuka 2 minggu lagi



LEBUHRAYA Pan Borneo di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu sepanjang 10 kilometer (km) dijangka boleh digunakan secara empat lorong dalam masa dua minggu lagi.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar berkata ia membabitkan jalan sepanjang Kampung Gana hingga Kampung Kawang.

"Pembinaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap dan boleh digunakan pada awal atau pertengahan Julai hadapan.

Loading...

"Manakala jarak keseluruhan projek sejauh 15.8 km antara Kampung Gana ke Kampung Limauan pula dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan," katanya.

Menurutnya, langkah itu adalah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengurangkan kemalangan disebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Aidi turut menyatakan bahawa kontraktor bertanggungjawab diarahkan untuk memperbanyakkan papan tanda amaran bagi setiap satu kilometer supaya pengguna lebih peka sepanjang pemanduan.

Beliau berkata demikian ketika melaksanakan lawatan ke lokasi kemalangan maut di Kilometer 22 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu, Papar, hari ini.

Turut hadir ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan, ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof dan Pegawai Daerah Papar, Gulam Rasul Hapil.

Loading...

Lebuhraya Pan Borneo adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional ketika Pilihanraya Umum ke-13. Projek mega ini diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dalam Bajet 2015 untuk direalisasikan.

Antara projek infrastruktur terbesar negara, Lebuhraya Pan Borneo akan menyediakan kesalinghubungan yang amat diperlukan antara kawasan pedalaman dan kawasan bandar di Sabah dan Sarawak. Projek ini juga memberikan jaminan penyertaan kontraktor Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam pembangunannya melalui Program Penyertaan Bumiputera.

Dengan lebuhraya ini, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mampu menikmati perjalanan di dalam dan di antara negeri dengan lebih selamat dan selesa, selain mengurangkan kos pengangkutan serta membawa pembangunan dan peluang ekonomi kepada kawasan yang dihubungkan dan juga kawasan di sepanjang lebuhraya. Ia sekaligus membawa banyak manfaat kepada masyarakat tempatan, terutamanya di kawasan pedalaman. – Hmetro / NajibRazak.com





Join our Telegram Channel
Telegram