Saya tidak ada hak menentang Mukhriz jadi TPM II, kata Dr M



PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bukan beliau yang mencadangkan anaknya, Mukhriz untuk menjadi timbalan perdana menteri II sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Mahathir juga sedar cadangan itu akan mengundang kritikan.

“Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut,” katanya dalam kenyataan.

Cadangan itu meletakkan beliau dalam keadaan serba salah.

Loading...

“Di waktu saya jadi perdana menteri kali pertama saya larang anak saya bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti kerajaan.

“Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya,” katanya.

Bagaimanapun, selepas beliau tidak lagi menjadi perdana menteri, Mahathir tidak dapat menolak cadangan melantik Mukhriz ke jawatan-jawatan tertentu.

“Saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya,” katanya.

Loading...

Beliau berkata anaknya tidak memikul tanggungjawab menjaga namanya, mengatakan mereka bebas berpolitik.

“Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka,” katanya.

Beliau menyerahkan kepada pembacanya untuk mempercayai atau tidak penjelasan ini, mengatakan sudah tentu orang yang bermusuhnya dengannya, “akan bercakap sinis”.

Nama Mukhriz dicadangkan dalam “opsyen pertama” perbincangan mengenai calon perdana menteri PH, yang mengandingkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan bekas menteri besar Kedah itu sebagai timbalannya.

Terbaru, Mukhriz dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri II, bersama Anwar, dengan Presiden Warisan, Shadie Apdal sebagai perdana menteri. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram