Tolong Mahathir sama macam lepaskan anjing tersepit



PETALING JAYA: Kumpulan pro-Anwar Ibrahim mengatakan Dr Mahathir Mohamad mempunyai peribadi “menjengkelkan”, ketika mengulas cadangan supaya Pakatan Harapan memberikan semula jawatan perdana menteri kepada tokoh politik itu “untuk beberapa bulan”.

Otai Reformis berkata gabungan pembangkang harus menolak pencalonan semula Mahathir sebagai perdana menteri “walaupun untuk tempoh 6 bulan”, mengatakan sekarang masanya tokoh politik itu menunaikan janjinya kepada Anwar, iaitu mengangkat presiden PKR itu sebagai perdana menteri selepas tempoh masa tertentu.

“Mahathir mempunyai peribadi (character) yang ‘menjengkelkan’,” kata Setiausaha Abdul Razak Ismail kepada FMT.

“Mungkin pimpinan PH mengidamkan jawatan menteri dan tanpa berfikir secara waras sanggup menyerahkan kembali jawatan perdana menteri kepada Mahathir,” tambahnya.

Loading...

Razak berkata Mahathir buat sesuka hati bila menjawat perdana menteri, mengingatkan PH tentang kejadian yang membawa kepada tumbangnya pentadbiran PH.

“Mahathir tanpa sebarang rundingan dengan kepimpinan PH menghadap Agong untuk menyerahkan surat peletakan jawatan. Keesokan harinya semua menteri ‘terpelanting’ keluar dari Putrajaya. Itulah balasan Mahathir kepada pimpinan PH yang memilih beliau sebagai perdana menteri,” katanya.

Razak tertanya apa jaminan Mahathir tidak akan meletakkan jawatan secara mengejut sekiranya diberi peluang kedua.

“Membantu Mahathir samalah macam ‘melepaskan anjing tersepit’ – akhirnya peha kamu dibahamnya balik,” katanya.

Beliau berkata Mahathir, 94, tidak patut meraih simpati daripada PH kerana masanya sudah berlalu.

Loading...

“Berilah nafas baru kepada yang lebih bertenaga,” tambahnya.

Isu calon perdana menteri PH kembali hangat diperkatakan ekoran laporan media mengenai pandangan berbeza kumpulan pro-Anwar dan pro-Mahathir.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, yang dahulunya ahli PPBM mengingatkan PH peluang gabungan itu untuk mengambil semula kerajaan tanpa Mahathir sangat tipis.

Semasa pentadbiran PH, Otai Reformis lantang menggesa Mahathir menetapkan garis masa peralihan kuasa kepada Anwar yang jelas, mengikut persefahaman antara PKR, PPBM, DAP, dan Amanah sebelum pilihan raya umum ke-14. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram