Zoo Melaka benarkan 500 pengunjung satu sesi



MELAKA: Seramai 500 orang akan dibenarkan mengunjungi Zoo Melaka pada setiap sesi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini.

Pengarah Zoo Melaka dan Taman Burung, Zanariah Khamis, berkata pengunjung boleh membuat pilihan sama ada untuk memasuki sesi pertama dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari atau sesi kedua dari 2 petang hingga 5 petang.

"Zoo Melaka mempunyai keluasan kira-kira 50 ekar (20 hektar) jadi setiap sesi terhad kepada hanya 500 orang sahaja dan akan berehat selama dua jam setiap hari bagi melakukan proses nyahkuman, pembersihan atau sanitasi bermula 12 tengah hari hingga 2 petang.

Loading...

"Bagi pembelian tiket, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan beratur namun kesemua maklumat nama dan nombor telefon ahli keluarga perlu dimasukkan ke dalam rekod pengesanan pelanggan yang diletakkan di kaunter Zoo

Melaka ini selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKPP, Zoo Melaka menawarkan harga 'durian runtuh' kepada orang ramai iaitu RM10 untuk dewasa, manakala RM5 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Zanariah berkata, pelbagai usaha dilakukan pihak pentadbiran bagi mengembalikan zaman kegemilangan Zoo Melaka termasuk menaik taraf, dan menambah baik infrastruktur untuk menarik lebih ramai pengunjung ke zoo kedua terbesar di Malaysia itu.

Loading...

"Macam-macam yang kita rancangkan termasuk mewujudkan 'petting zone', sesi bergambar dengan haiwan, pemberian makanan secara percuma kepada haiwan, bertemu maskot pada hujung minggu dan banyak lagi," katanya.

Menurutnya, setakat ini melalui 'Tabung Sumbangan Zoo Melaka' yang dilancarkan April lalu, Zoo Melaka berjaya mengumpul dana berjumlah RM94,000, manakala sumbangan makanan yang diterima bernilai RM250,000.

Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 menempatkan kira-kira 650 haiwan daripada 150 spesies yang berlainan dari seluruh dunia selain berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan semua zoo beroperasi mulai hari ini. – Bernama




Join our Telegram Channel
Telegram