DBP: Keputusan kerajaan tepat, PPSMI satu kegagalan



Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyifatkan Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan era bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai satu kegagalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola DBP Awang Sariyan, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membuat keputusan tepat untuk tidak melaksanakan kembali PPSMI.

"Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak akan melaksanakan semula PPSMI seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Radzi Jidin di Parlimen merupakan keputusan yang tepat.

"KPM semasa di bawah teraju Muhyiddin Yassin pada tahun 2011 telah memutuskan pemansuhan PPSMI sesudah kajian yang dilakukan oleh pelbagai institusi bahasa dan pendidikan, termasuk universiti dan persatuan serta orang perseorangan menunjukkan kesilapan dan kegagalan program itu.

Loading...

"Semua kajian menunjukkan bahawa PPSMI tidak berjaya mencapai hasrat perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dua hari lalu, Radzi memaklumkan kerajaan tidak merancang untuk mengembalikan semula dasar PPSMI buat masa ini.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada soalan Anggota Parlimen Selayang, William Leong Jee Ken.

Dalam soalannya, Leong meminta menteri pendidikan memberi sebab untuk melaksanakan semula PPSMI dan apakah penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan ketika ia pertama kali dilaksanakan.

"Untuk makluman, kementerian pendidikan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula dasar PPSMI," kata Radzi dalam jawapan ringkasnya.

Loading...

Sementara itu, Awang berkata disebalik perbelanjaan besar bagi pelaksanaan PPSMI yang melebihi RM5 bilion pencapaiannya hanya sekitar tiga peratus.

"Pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Rata-rata kajian menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program yang tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti PISA merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI," katanya.

Beliau juga menyarankan supaya Program Dwibahasa (DLP) dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, iaitu sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sekolompok lagi dalam bahasa Melayu

Katanya, DBP telah menubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Isahak Haron untuk mengemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram