Hari Arafah, penuh keberkatan & keampunan – Zahid



KUALA LUMPUR: Sempena kedatangan 9 Zulhijjah pada hari ini yang juga menandakan bermulanya ibadah haji bagi tahun 2020, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkannya sebagai hari yang sangat istimewa dan berbeza dari kebiasaan.

Menurut beliau seperti dipetik dari laman Facebooknya, hanya mereka yang dipilih oleh Allah SWT sahaja yang dapat menunaikan ibadah Haji pada tahun ini dalam jumlah yang sangat kecil akibat wabak covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.

Presiden UMNO itu turut berkata, jika beliau sendiri sangat rindu kepada Rumah Allah di Tanah Suci Mekah, pastinya jutaan umat Islam baik di dalam negara atau luar negara pun begitu juga.

Loading...

“Apapun kita wajib redha dengan aturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Pasti ada hikmah untuk kita semua”, kata Zahid.

Beliau turut yakin ramai dalam kalangan umat Islam di negara ini mengambil kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa sunat hari ini selaras dengan sabda Baginda Rasullullah SAW yang berbunyi:-

صيام يوم عرفة احتسب على الله ان يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده.

“Puasa pada hari Arafah, maka aku berharap kepada Allah agar mengampuni dosa-dosa setahun yang telah lampau dan setahun mendatang” (Sahih Muslim Hadis No. 1162)

Loading...

Akui Zahid, nikmat terbesar sebagai seorang hamba adalah mendapat keampunan Allah SWT dari segala keterlanjuran yang kita lakukan. Semoga Allah SWT menerima ibadah puasa sunat Arafah yang kita laksanakan.

“Sama-sama jugalah kita penuhi hari ini dengan amalan yang baik dan dituntut oleh agama Islam. Banyakkan bersedekah dan berdoa kepada Allah SWT agar negara kita khasnya dan seluruh dunia amnya dibebaskan dari wabak Covid-19”, tambah Zahid lagi.

Diakhir hantarannya, Zahid memberikan pesanan ini, “Bagi yang akan pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibu bapa dan kaum keluarga, berhati-hatilah dalam perjalanan dan saya mendoakan kalian senantiasa dalam lindungan Allah SWT”. – SuaraTV



Join our Telegram Channel
Telegram