Jenazah belum kebumi, PKR sudah umum letak calon



PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dikritik kerana tidak sabar-sabar mengumumukan untuk meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada waktu jenazah penyandang kerusi itu masih belum dikebumikan.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tindakan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mengumumkan perkara itu seolah-olah tidak bersimpati dengan keluarga Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

“Jenazah arwah Datuk Khusairi masih belum pun diselenggara dan dikebumikan, tetapi Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR ini terus membicarakan soal calon pilihanraya kecil Dun Slim.

“Apakah sudah terhakis politik kemanusian sehingga tiada langsung sekelumit perasaan ihsan dan simpati kepada keluarga Arwah yang masih bersedih atas berita kematian mengejut Datuk Khusairi petang kelmarin?” kata Asyraf Wajdi.


Loading...

Allahyarham Mohd Khusairi meninggal dunia akibat serangan jantung semalam di Hospital Bentong, Pahang.

Jenazah Mohd Khusairi dibawa ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Slim River malam ini dan dijangka akan disolatkan di Masjid Felda Sungai Behrang pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang.

Pada lewat malam tadi, Farhash Wafa memberikan kenyataan akhbar bahawa PKR akan meletakkan seorang calon anak tempatan di kerusi tersebut.

Menurutnya, PKR akan mempertahankan legasi Allahyarham Mohd Khusairi di kawasan tersebut.


Loading...

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga waris ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia petang tadi.

“Parti PKR akan mempertahankan legasi arwah dengan mencalonkan seseorang dari kawasan setempat. Kita akan meneruskan usaha dalam membela nasib rakyat sebagai pembangkang ketika waktu yang mencabar ini.

“Ketika negara kita mengalami krisis Covid-19 dan rakyat sedang menghadapi kemelut ekonomi, gerakan reformasi akan diteruskan demi suara PKR,” kata Farhash Wafa.

Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) lalu, Mohd Khusairi menang di kerusi DUN Slim menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Mohd Khusairi yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim menjadi ADUN Slim sejak tahun 2004. – SM

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram