SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam fasa akhir menyiapkan siasatan projek Terowong Dasar Laut Penang yang bernilai RM6.3 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi, sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk pandangan dan tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan terhadap projek kontroversi itu tidak pernah ditutup tetapi ditangguhkan sejak Mac lalu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Malah katanya, bekas Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebelum ini pernah menyatakan membuka beberapa kertas siasatan terhadap projek terbabit.
Loading...
"Sememangnya kes ini masih berjalan dengan penemuan bukti dan petunjuk baharu. Menurut pegawai penyiasat, kami kini dalam fasa akhir untuk melengkapkan siasatan.
"Ia sudah lama tertangguh. (Namun) tidak timbul isu kita membuka semula kes Kemungkinan dua ke tiga minggu lagi daripada sekarang, kami dapat menyerahkan semua kertas (siasatan) kepada DPP," katanya yang ditemui ketika lawatan kerja pertamanya sebagai Ketua Pesuruhjaya di pejabat SPRM negeri di Georgetown, hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya turut menyertakan beberapa cadangan kepada DPP berhubung siasatan termasuk jika wujud penyelewengan dalam kes itu.
"Sudah tentu jika ada individu yang terbabit, ia akan dinamakan dalam kertas siasatan. Tetapi buat masa ini, maaf, saya tidak boleh menyebutnya. Cuma, saya beri jaminan bahawa siasatan kami adil dan telus," katanya.
Loading...
Ditanya mengenai penemuan bukti baharu, Azam memberitahu ada banyak yang ditemui pihaknya.
"Dalam kes rasuah, kita juga melihat elemen pengubahan wang haram, yang disebabkan itu siasatan ini membabitkan ramai orang.
"Saya boleh sahkan yang kami sudah melawat pejabat kerajaan negeri dan menemubual ramai orang. Dalam lima hari ini, kami juga bercakap dan merekodkan keterangan 32 saksi. Dan saya difahamkan penyiasat akan menemui lagi 10 ke 15 saksi minggu hadapan," katanya.
Ditanya sama ada orang kenamaan (VIP) akan ditahan, Azam menambah, "saya tidak boleh komen berapa ramai VIP akan ditahan, tetapi menjamin siasatan adalah adil."
Katanya jika ada tangkapan, ia kerana terdapat keperluan untuk itu namun ketika ini beliau tidak dimaklumkan sebarang tangkapan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM untuk tindakan lanjut.
Please subscribe
Azam juga ditanya mengapa masih ramai saksi akan dipanggil sekiranya siasatan hampir siap.
"Siasatan ini bukanlah seperti apa yang anda lihat dalam filem. Ia bukan kes yang seperti anda fikir akan siap hari ini atau esok. Ia bergantung kepada situasi dan keadaan semasa kes.
"Kadangkala ketika merekodkan keterangan saksi, mereka akan mengaitkan perkara lain. Jadi kami perlu teliti secara terperinci semua butirannya. Ia bukanlah soal kita dapat tentukan jangka waktu siap siasatan dengan mudah," katanya.
Rabu lalu, media melaporkan SPRM menyiasat semula projek Terowong Dasar Laut Penang susulan penemuan bukti baharu, malah Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew Gim Eam menjadi orang pertama ditahan pada Selasa lalu. – Hmetro
Join our Telegram Channel