Syarikat Singapura pecat Mirzan Mahathir sebagai pengerusi



SINGAPURA 30 Jun – Mirzan Tun Dr. Mahathir, disingkirkan oleh pemegang saham syarikat Singapura, SBI Offshore sebagai pengerusi di dalam undian mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu, semalam.

Menurut laporan syarikat itu kepada bursa saham Singapura, sebanyak 70.05& undi sah menolak pelantikan semula beliau, berbanding hanya 29.95% undi menyokong.

Menurut The Edge Singapore, Mirzan menjadi pemegang saham utama SBI Offshore pada September 2014 selepas mengambil alih 10.8% kepentingan di dalam syarikat menerusi penempatan persendirian pada harga 26.05 sen sesaham.

Loading...

Beliau merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada AGM semalam, seorang lagi pengarah syarikat, James Kho Chung Wah, telah dilantik semula.

Selain undi menyingkirkan Mirzan, pemegang saham juga menolak dua resolusi yang dibentangkan.

Sebanyak 66.43% undi menolak usul pembayaran fi pengarah sebanyak S$120,000 (RM368,712) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 untuk dibayar berasaskan suku tahunan dari segi tunggakan.

Loading...

Di samping itu, mereka juga tidak memberikan kuasa kepada syarikat untuk menerbitkan saham atau menerbitkan saham sebagai ganjaran prestasi.

Menurut The Edge Singapore lagi, pada 12 Jun lalu, SGX RegCo dilaporkan memeriksa SBI Offshore atas kemungkinan melanggar peraturan penyenaraian serta pelanggaran tugas fidusiari pengarah, berikutan penemuan laporan audit khas oleh RSM Corporate Advisory.

Audit khas itu adalah atas arahan SGX RegCo pada Disember 2018, bagi menyiasat penjualan kilang di China, yang dijual oleh SBI Offshore hanya pada harga RMB18 juta – yang dianggap diskauan besar berbanding nilai bukunya antara RMB38 hingga RMB40 juta.

Laporan audit khas itu, diterbitkan oleh RSM pada 12 Jun, merumuskan bahawa SBI Offshore ada mengambil proses “mencukupi dan munasabah” untuk cuba dan menjual kilang tersebut. Harga transaksi RMB18 juta mewakili tawaran terbaik yang mereka terima semasa tempoh berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Badan penyelia bursa Singapura siasat syarikat berkaitan Mirzan Mahathir

Bagaimanapun, berdasarkan laporan audit khas RSM itu juga mendapati beberapa isu berkaitan kilang yang sama turut berbangkit.

Satu daripadanya, apabila SBI Offshore membeli kilang itu, perjanjian pengambilalihan tidak mengandungi butiran mencukupi untuk aset itu dibeli.

Tiada penilaian dilakukan sebelum memuktamadkan perjanjian pembelian bagi menilai dan menyokong pertimbangan pembelian sebanyak RMB32 juta ketika itu. – DagangNews.com



Join our Telegram Channel
Telegram