2,000 ahli Bersatu Melaka keluar parti



MELAKA: Hampir 2,000 pemimpin dan ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka mengumumkan keluar daripada parti itu serta-merta.

Dalam pengumuman yang dibuat secara rasmi sebentar tadi, mereka mengumumkan hilang kepercayaan terhadap presiden dan parti yang didakwa tidak menunaikan mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Kesemua 1,878 ahli itu merupakan dari lima bahagian iaitu Hang Tuah Jaya, Jasin, Kota Melaka, Tangga Batu dan Alor Gajah.

Manakala, pengumuman berasingan melibatkan bahagian Masjid Tanah akan dibuat dalam masa terdekat.



Bekas Ketua Cawangan Rim, Bahagian Jasin, Imanuddin Abd Aziz berkata, tindakan keluar parti beramai-ramai itu kerana kepercayaan pada kepimpinan sebelum ini telah dikhianati selain banyak perkara tentang disiplin dalam parti berkenaan telah 'dirogol'.

“Seperti kita ketahui, banyak perkara tentang kedisiplinan dan sebgainya dalam Bersatu ini telah dirogol, kerana itu kepercayaan kami masih tetap bersama Tun Dr. Mahathir dan berhijrah bukannya melompat dan sebagainya.

“Kami ini ahli biasa sahaja, kami bukan wakil rakyat. Kami bukan ahli parlimen yang mendapat mandat rakyat, kami Cuma ahli biasa, tetapi rakan-rakan saya inilah pejuang asal yang berjuang tanpa sempadan bersama menegakkan Bersatu di Melaka ini," jelasnya.

Mengulas lanjut ujarnya, jumlah yang keluar termasuk 16 Ketua Cawangan, Pengerusi Tetap Bahagian dan Timbalan Pengerusi Tetap Bahagian yang dipecat kerana didakwa telah melanggar peraturan parti di bawah Fasal 10.2.4 Perlembagaan Parti pada 15 Ogos.



Ujarnya beliau turut menjangkakan 40 peratus lagi daripada keseluruhan 20,000 ahli Bersatu di Melaka akan turut mengisytiharkan keluar parti dalam masa terdekat.

Katanya, mereka akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana masih yakin dengan perjuangan politik tun dr mahathir mohamad dan beberapa kepemimpinan lain.

Terdahulu, kurang dua minggu lalu Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menegaskan ahli-ahli di negeri itu masih utuh menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 7 Ogos lepas, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang kemudiannya dinamakan sebagai 'pejuang'.

Dr Mahathir dilaporkan berkata parti itu akan dipimpin oleh anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai presiden dan beliau sebagai pengerusi. – Astro Awani

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram