Bukan gaya tulisan saya, mungkin fb kena godam, kata Timbalan Speaker Melaka



Timbalan Speaker Melaka Ghazale Muhamad berkata kenyataan di Facebooknya yang mengandungi tuduhan terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bukan seperti kelaziman gaya tulisannya.

Justeru, Ghazale tidak menolak kemungkinan Facebooknya digodam.

Ghazale merujuk kenyataan di Facebooknya yang menuduh Lim melantik 30 pegawai khas ketika menjadi menteri kabinet, yang menyebabkan saman terhadapnya oleh setiausaha agung DAP itu.

"Saya tengok ayat digunakan, caption (keterangan) ditulis tu, bukan kelaziman style (gaya penulisan) saya. Sebab saya takut ada orang hack (godam) ke. Saya tak pasti.



"Bagaimanapun, saya dah minta peguam saya semak untuk saya tengok (sebab) caption tu pelik sikit.

"Kalau orang biasa tengok FB (kenyataan Facebook) saya, caption saya sebaris dua baris je. Ini berjela nampak," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut catatan di Facebook Ghazale pada 11 Ogos, dia menuduh Lim memilih sendiri dan melantik sepasukan 30 pegawai khas ke Kementerian Kewangan , yang menurutnya terdiri daripada anak muda Cina berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Adun Umno itu juga mendakwa bahawa pegawai-pegawai khas itu diketuai oleh setiausaha politik Lim, Tony Pua dan menerima gaji bulanan pada skala yang sama dengan penjawat awam gred Jusa, iaitu antara RM8,000 hingga RM15,000.



Kenyataan Ghazale di Facebook itu masih dapat diakses ketika berita ini ditulis pada jam 4 petang hari ini.

Dalam kenyataan itu, Ghazale juga mendakwa bahawa Lim telah melantik pegawai-pegawai berkenaan dengan tujuan khusus untuk meneliti kes-kes yang melibatkan tokoh-tokoh Umno, menguruskan aset Kementerian Kewangan dan menyusun belanjawan yang memihak kepada orang Cina.

Susulan itu, Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Lim sudah memfailkan saman terhadap Ghazale berhubung dakwaan itu.

Saman Lim terhadap Ghazale hadir dua bulan selepas Adun Umno itu meminta maaf kepada seorang lagi wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching setelah dia didakwa menyiarkan semula berita palsu terhadap Ahli Parlimen Kulai itu.

Kiriman palsu itu mendakwa Teo meminta kewarganegaraan untuk anak-anak dari negara lain untuk mengimbangi jumlah Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.



Sementara itu, ditanya mengenai kenyataannya sebelum ini terhadap Teo, Ghazale mengakui bahawa kenyataan berkenaan dimuat naik olehnya.

"Yang itu saya mengaku memang saya post (muat naik).

"Kalau kamu tengok caption tu, pendek-pendek, sayalah post tu. Kalau berjela-berjela ni bukan saya," katanya.

Ghazale juga berkata dia mengendalikan akaun Facebooknya sendiri tanpa bantuan pihak lain.

"Facebook memang saya tak bagi orang lain (kendalikan).

"Saya monitor (kendali) sendiri je. Saya tak bagi sesiapa. Saya kena pilih isu, pilih cerita (untuk dikongsikan)," katanya. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng saman timbalan speaker Melaka isu fitnah di Facebook





Join our Telegram Channel
Telegram