Dr M akan hantar Zakir Naik ke negara lain jika dipilih PM kali ke-3



Jika dipilih sebagai perdana menteri Malaysia bagi kali ketiga pun, Dr Mahathir Mohamad tidak akan mempersetujui permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

Sebaliknya, dalam satu wawancara baru-baru ini bersama media WION dari India, Dr Mahathir berkata bahawa Zakir, yang memiliki status penduduk tetap di Malaysia sejak 2016, kemungkinan besar akan dihantar ke negara lain di mana "dia akan selamat".

"Keadaan di India berkaitan dengan hubungan Muslim-Hindu tidak begitu baik. Terdapat kes orang yang dihukum orang ramai tanpa melalui perbicaraan.



"Jadi, saya fikir, dia tidak disambut baik di India," kata pemimpin yang berusia 95 tahun itu.

Zakir yang kini berada di Malaysia mendapat suaka politik selepas dikehendaki di India bagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwah itu mendapat status penduduk tetap di Malaysia pada 2016, ketika pentadbiran kerajaan BN serta dilaporkan juga mempunyai kewarganegaraan Arab Saudi sejak tahun 2017.

Menjawab soalan wartawan, Mahathir menegaskan bahawa hubungan Hindu-Muslim yang tegang di India di bawah Perdana Menteri Narendra Modi telah mendorong Malaysia menolak permintaan ekstradisi Zakir.



"Kami fikir, buat masa ini, dia boleh tinggal di sini, tetapi kami ingin menghantarnya ke negara lain di mana dia akan selamat.

"Malangnya, tidak banyak negara yang bersedia menerimanya," kata Mahathir yang mempunyai hubungan tegang dengan Modi ketika menjadi perdana menteri selama 22 bulan ekoran kenyataan mengenai konflik Kashmir.

Pada 27 September tahun lepas, Mahathir dalam satu ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York berkata bahawa India dan Pakistan perlu bekerjasama dalam menangani konflik ke atas Jammu dan Kashmir.

Susulan itu, badan perdagangan India membuat seruan boikot minyak sawit dari Malaysia. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram