Kumpulan Azmin sah sertai Bersatu next week



SUBANG - Kumpulan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sah akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu depan.

Memetik laporan MalaysiaGazette, perkara itu disahkan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.

Beliau berkata, satu majlis akan diadakan bagi tujuan formaliti kumpulan yang menyokong Mohamed Azmin dalam parti itu Sabtu depan.



"Kita cuma sebahagian daripada Bersatu. Sebab itu di Parlimen kami diletakkan sebagai ahli Bersatu.

“Ini cuma formaliti yang belum kami lakukan. Kita akan umumkan penyertaan dalam Bersatu pada 22 Ogos ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini.

Zuraida pada Julai lalu memaklumkan beliau dan kumpulan yang keluar PKR belum menyertai Bersatu.



Katanya, mereka masih menunggu sehingga Bersatu menyelesaikan pemilihan dan perhimpunan agung parti terlebih dahulu sebelum menyertai parti itu.

Terdahulu, Februari lalu media melaporkan seramai 11 ahli Parlimen mengumumkan keluar daripada PKR dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Ahli Parlimen tersebut ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuffin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat) dan Ali Biju (Seratok). – Sinar

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Tertinggi Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional


Join our Telegram Channel
Telegram