MUAR: Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pagoh antara yang mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta.
Pada satu sidang media di pekan Bukit Pasir, Pagoh malam tadi, Abd Wahab Ibrahim yang merupakan antara pengasas Bersatu bahagian Pagoh turut mengumumkan peletakan jawatannya dari parti itu.
“Saya Abd Wahab Ibrahim, ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pagoh dengan ini mengisytiharkan keluar dari parti secara beramai-ramai secara serta-merta,” kata Abd Wahab disambut laungan takbir ahli-ahli Bersatu yang keluar parti itu pada sidang media semalam.
Menurut beliau, ahli-ahli Bersatu bahagian Pagoh meninggalkan parti itu kerana tidak lagi yakin dengan kepemimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sebab utamanya ialah beliau keluar daripada Pakatan Harapan (PH) tanpa ‘memberi salam’ sekalipun kepada ahli-ahli yang menyokong beliau, yang memberi beliau undi, yang membolehkan beliau menang melalui Pakatan Harapan,” katanya.
Abd Wahab, 93, veteran politik Pagoh itu berkata, menurut maklumat diterimanya seramai 1,000 ahli Bersatu juga turut bersama keluar parti.
Malah kata Abd Wahab, sebuah cawangan Bersatu di Pagoh, iaitu Simpang Empat, Sungai Terap telah terbubar berikutan peletakan jawatan pengerusi, ketua dan ahli jawatankuasa cawangan.
“Cawangan lain belum dapat dikesan lagi, tetapi ahli (yang lain) telah keluar beramai-ramai, katanya.
Sementara itu wakil Srikandi Bersatu, Rosmawati Wahab berkata, ahli Bersatu termasuk di kalangan wanita berasa dukacita dan kesal dengan keputusan Muhyiddin keluar daripada PH, dan bersama semula dengan golongan kleptokrasi.
“Dulu kita semasa pilihanraya umum (PRU) ke-14 beramai-ramai bersusah-payah menjatuhkan Umno-BN, tetapi hari ini mereka bersama-sama di dalam Perikatan Nasional.
“Kami sangat kecewa. Ini adalah tanda protes kami dengan keluar parti,” kata Rosmawati lagi.
Hadir sama pada sidang media itu adalah, Aishah Abu Bakar, Ketua Srikandi cawangan Maokiil, Hairy Mahmood dari cawangan Gugusan Jengka Beringin, Mohd Noh Don dari cawangan Felda Maokiil, Johar Siraj, ketua cawangan Bersatu Sungai Terap dan Mohd Saiful Jamit, pengerusi tetap cawangan Bandar Pagoh Selatan. – Johorkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- [Video] Dr M umum parti baru
- Adun Jeram, Ahli Majlis Tertinggi PPBM umum keluar parti
- Kadir Jasin umum keluar Bersatu
- Bersatu Klang bubar, ketua bahagian join parti baru Dr M
- Parti Dr M tiada hala tuju – Faizal Azumu
- Bersatu Langkawi bubar, 22 AJK letak jawatan
- Syed Saddiq tolak parti Dr M, bakal tubuh parti baru?
- 8 cawangan PPBM di Hulu Langat bubar, 450 ahli keluar parti
- Pemimpin Bhg Bersatu Shah Alam pula umum keluar parti
- Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar umum keluar parti
- 13 bekas calon PRU14 Bersatu umum keluar parti
- 200 ahli Bersatu Kubang Pasu keluar parti
- 29 pimpinan tertinggi Bersatu Puchong keluar parti
Join our Telegram Channel