PRU awal betulkan kepincangan PH, mungkin bubar parlimen tahun ini juga



Meskipun penggal kerajaan sekarang masih berbaki hampir tiga tahun lagi BN sekali lagi menyatakan kecenderungan parti itu agar pilihan raya umum (PRU) diadakan secepat mungkin.

Malah salah seorang daripada mereka menyarankan parlimen dibubarkan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, berkata PRU ke-15 sepatutnya diadakan tiga tahun lagi namun kerajaan wajar mempertimbangkan agar ia diadakan lebih awal.

“Hatta jika perlu, boleh diadakan tahun ini juga supaya rakyat berpeluang membetulkan segala kepincangan Pakatan Harapan (PH) sejak PRU ke-14 yang merupakan igauan buruk buat rakyat Malaysia,” ciapnya di Twitter malam tadi.


Ia bukanlah gesaan kali pertama daripada bekas setiausaha agung Umno itu. Sebelum ini Annuar pernah memberi bayangan berkenaan kemungkinan PRU diadakan dalam masa terdekat.

Selain itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut dilaporkan bersiap sedia untuk mengadakan PRU mengejut seawal tahun ini bagi mendapatkan mandat bagi Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyifatkan PN seperti tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengadakan PRU bagi membentuk kerajaan lebih kukuh.

Dia yang juga presiden Umno berkata, sokongan tipis PN di Dewan Rakyat - iaitu hanya 113 kerusi - berbanding 109 di pihak pembangkan - maka PN dilihat tidak stabil dan akan terus dipersenda sebagai kerajaan pintu belakang.


"Kita tidak ada pilihan melainkan memperoleh mandat baru daripada rakyat untuk elakkan tuduhan berterusan. Maka kerajaan sekarang mesti mengembalikan hak memilih kerajaan dan kuasa rakyat mesti dikembalikan supaya rakyat boleh memilih semula.

"Maka untuk memilih semula, PRU ke-15, jangkaan saya akan diadakan dalam waktu terdekat," katanya dipetik portal BH Online.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihan tempoh berkenaan memandangkan kuasa menasihat Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan parlimen terletak pada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

Ahmad Zahid sendiri bukanlah sebahagian daripada anggota kabinet Muhyiddin. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram