TYT Sabah didakwa terima rasuah untuk bubar DUN



Putrajaya – Badan Bukan Kerajaan (NGO), Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia membuat laporan dakwaan salah guna kuasa dan salah laku rasuah terhadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan menerima imbuhan tertentu untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa, Juhar telah membuat pertimbangan salah dengan menerima nasihat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membubarkan DUN Sabah, sedangkan Ketua Menteri Sabah itu telah kehilangan majoriti.

“Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap salah guna kuasa ulangan pernah saya lakukan pada 1 Disember 2018 ke atas Tun Juhar Mahiruddin selaku Yang Dipertua Negeri Sabah.

“Tun Juhar secara jelas telah bertindak secara salah dengan membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai 2020 selepas menerima surat permohonan pembubaran dewan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal walaupun beliau mengetahui Mohd Shafie telah kehilangan majoriti di dalam DUN Sabah.


Loading...

“Ini kerana belasan (13) orang wakil rakyat Warisan, UPKO, PKR dan DAP telah mengisytiharkan keluar daripada parti,” katanya ketika ditemui pemberita di pintu utama Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Shafie dalam satu sidang media khas di Kota Kinabalu, Sabah mendakwa Yang Dipertua Sabah telah memberi perkenan untuk membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lalu.

Mohd Shafie turut menunjukkan surat perakuan pembubaran DUN Sabah yang ditandatangani oleh Juhar mengikut kuasa dan Perlembagaan negeri itu.

Keesokan harinya pemakluman pembubaran DUN Sabah itu telah disampaikan kepada SPR bagi membolehkan pilihan raya negeri dikendalikan Suruhanjaya badan itu dalam tempoh 60 hari.


Loading...

Dalam pada itu, Zulkarnain juga mendakwa tindakan Juhar membubarkan DUN Sabah sebagai balas kepada jasa Mohd Shafie yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang DiPertua Sabah.

“Sebelum ini Tun Juhar pernah membantu memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk melompat keluar parti pada Mei 2018, bagi menyokong Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Imbuhan yang diberikan ke atas Tun Juhar ialah Shafie telah membantu menggubal undang-undang untuk tidak lagi menghadkan tempoh jawatan Tuan Yang Terutama (TYT) yang sebelum ini dua penggal sahaja,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain turut mendakwa Juhar menyalahgunakan kuasanya apabila mengarahkan pihak polis menghalang Tan Sri Musa Aman untuk ke istana bagi membuktinya beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

“Demokrasi telah dirosakkan apabila 33 wakil rakyat sepatutnya diberikan peluang untuk bertemu dengan Juhar, malangnya telah disekat di tengah jalan oleh pihak polis.


“Ini tidak pernah berlaku di seluruh Malaysia dan ini amat memalukan, tapi yang peliknya dia boleh membenarkan Mohd Shafie untuk berjumpa dengan dia,” soalnya.

Sebelum ini, konvoi hampir 10 buah kenderaan yang membawa Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ke Istana Negeri untuk mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah tidak dapat meneruskan perjalanan selepas laluan ke istana di Bulatan Nanas, Kota Kinabalu ditutup pihak berkuasa.

Konvoi yang dipercayai membawa 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Musa berkenaan tiba di laluan masuk ke istana itu kira-kira jam 3.50 petang.

Peguam Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad kelihatan keluar daripada salah satu kenderaan konvoi 33 ADUN yang sudah membuat akuan sumpah untuk menyokong Musa bagi membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti politik, untuk menemui anggota pihak berkuasa. – SuaraTV


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram