Bung: Bantuan Covid-19 RM300 pun Shafie tak boleh tunai, inikan nak bagi tanah 5 ekar



KOTA BELUD – Jaminan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk memberikan geran tanah sebanyak lima ekar bagi setiap keluarga dianggap janji bulan bintang yang tidak akan dikotakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan janji geran tanah itu seolah-olah mempermainkan sekali lagi kepercayaan rakyat di negeri di bawah bayu.

“Saya sudah beritahu, memang jumlah besar (lima ekar), dia (Shafie) boleh janji bulan bintang tapi kalau rakyat Sabah lagi jadi tak faham bahawa Warisan menipu.


“Wah, terserah kepada rakyat Sabah lah, bantuan Covid-19 RM300, pun dia tak boleh tunai… inikan pula nak bagi geran tanah lima ekar,” tempelak Bung ketika ditemui SuaraTV di sini, hari ini.

Calon DUN Lamag itu menyifatkan Shafie memang suka menabur janji palsu namun, tidak pernah ditunaikan.

“Yang tanah sekarang pun tak bagi, hendak bagi lagi, dia memang suka berjanji.

“Saya beritahu rakyat Sabah tidak perlu percaya dengan janji -janji Warisan sebab manifesto sendiri pun dia tak boleh tunai.


“Duit RM300 yang dia janji sewaktu Covid-19 untuk rakyat Sabah dia tidak tunai apalagi nak berjanji apa -apa.

“Kalau rakyat Sabah lagi boleh dipermainkan oleh janji Warisan ni saya tak faham lah.Cukup-cukuplah,” bidas Bung.

Semalam, Presiden Warisan memberi jaminan kepada rakyat Sabah untuk memberikan geran tanah sebanyak lima ekar bagi setiap keluarga di negeri itu.

Keyakinan itu akan dikotakan sekiranya pengundi di Sabah memberikan kuasa kepada sekali lagi untuk mengemudi kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini. – SuaraTV



Join our Telegram Channel
Telegram